Home Buletin Semasa JBPM KELANTAN PERHEBAT PEMANTAUAN AWAL KEBAKARAN TERBUKA MUSIM KEMARAU

JBPM KELANTAN PERHEBAT PEMANTAUAN AWAL KEBAKARAN TERBUKA MUSIM KEMARAU

177
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mempergiat pemantauan kebakaran terbuka susulan peralihan monsun sejak awal tahun ini.

Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya melakukan perancangan awal bersama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) bagi memastikan pemantauan dilakukan secara berterusan tanpa menunggu panggilan kecemasan diterima.

“Anggota bomba diarahkan supaya bertindak segera sekiranya mengesan kebakaran terbuka bagi mengelakkan api merebak dan menjadi lebih besar.

“Kita tidak mahu kebakaran menjadi serius baru hendak dipadamkan. Sebab itu saya sudah memaklumkan kepada semua balai supaya membuat pemantauan dari semasa ke semasa dan terus bertindak sekiranya terdapat kebakaran terbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Tahunan 2026 JBPM Kelantan, di Ibu Pejabat JBPM Kelantan, di sini, hari ini.

Farhan Sufyan berkata beliau sudah mengarahkan BBP sekiranya kebakaran membabitkan kawasan tanah gambut supaya menjalankan penilaian awal di lokasi terlibat.

“Jika didapati memerlukan sokongan udara, permohonan bantuan helikopter akan dibuat segera.

“Ini kerana kebakaran terbuka di sesetengah kawasan berdepan kesukaran dari segi akses dan ketiadaan sumber air terbuka, sekali gus menjadi cabaran utama kepada pihak bomba dalam usaha menangani kebakaran hutan dengan lebih berkesan,”katanya.

Katanya, cabaran utama dalam menangani kebakaran hutan ialah kekangan akses dan kekurangan sumber air terbuka berhampiran lokasi kejadian.

“Bagi kebakaran hutan, kita memerlukan sumber air terbuka. Jika tiada, kita akan menggerakkan 11 unit water tanker milik jabatan untuk operasi pemadaman,” katanya.

Beliau turut menyifatkan pembakaran terbuka sebagai “fighting a losing battle” kerana memerlukan aset dan anggota yang ramai, selain berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak.

Mengenai penggunaan telaga tiub, Farhan berkata kemudahan itu berada di bawah seliaan JAS dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).

“Telaga tiub yang dipasang di daerah Bachok telah diuji dan didapati berfungsi dengan baik.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah juga telah bermesyuarat serta mengambil tindakan awal termasuk menguji telaga tiub berkenaan, dan JBPM dibenarkan menggunakan kemudahan sedia ada itu sekiranya diperlukan bagi operasi pemadaman,”katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan orang ramai agar mengelakkan pembakaran terbuka, khususnya sepanjang musim kemarau.

Beliau berkata, hasil kerjasama berterusan dengan JAS serta pelaksanaan pelbagai kempen kesedaran pada 2025, jumlah kes kebakaran terbuka menunjukkan penurunan ketara.

“Jika pada 2024 sebanyak 1,897 kes direkodkan, pada 2025 jumlah itu menurun hampir 80 peratus kepada 373 kes,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here