Home Buletin Semasa LEBIH 70 PERATUS KEBAKARAN DI KELANTAN BERPUNCA DARIPADA ELEKTRIK

LEBIH 70 PERATUS KEBAKARAN DI KELANTAN BERPUNCA DARIPADA ELEKTRIK

180
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Lebih 70 peratus kes kebakaran yang direkodkan di Kelantan berpunca daripada faktor elektrik, menjadikannya penyumbang utama insiden kebakaran di negeri ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, punca kebakaran berkaitan elektrik itu terbahagi kepada dua faktor utama iaitu penggunaan peralatan elektrik dan penyambungan elektrik.

Menurut beliau, statistik semasa turut merekodkan satu kematian akibat kebakaran di daerah Kota Bharu pada tahun ini.

“Kita merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap kejadian seumpama ini tidak berulang lagi pada tahun ini seperti yang berlaku pada tahun-tahun sebelum ini,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata, selain elektrik, aktiviti memasak adalah punca kedua tertinggi kebakaran di Kelantan.

“Bagi kebakaran struktur, kebanyakan kes dilaporkan berlaku di rumah kediaman berbanding premis lain, dengan faktor utama tetap membabitkan penggunaan serta penyambungan peralatan elektrik,”katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata bermula tahun lalu JBPM Kelantan mempergiatkan aktiviti kesedaran keselamatan terutama di sekolah dan komuniti bagi mendidik masyarakat mengenai bahaya penggunaan elektrik yang tidak selamat.

Katanya, langkah berkenaan penting bagi meningkatkan tahap kesedaran awam sekali gus mengurangkan risiko kebakaran yang boleh mengakibatkan kerugian harta benda serta kehilangan nyawa.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here