BAITULMAQDIS: Tentera Israel mendakwa telah membunuh seorang anggota kanan Hamas yang disabitkan kesalahan mendalangi dua serangan bom bas pada 2004, mengorbankan 16 orang awam dan mencederakan puluhan yang lain.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, serangan bom berkenaan adalah antara serangan paling maut semasa Intifada kedua, iaitu kebangkitan rakyat Palestin pada awal tahun 2000.
Dalam satu kenyataan bersama, pihak tentera dan agensi keselamatan domestik Israel, Shin Bet, memaklumkan pasukan mereka membunuh Basel Hashem al-Haymouni dalam satu serangan di Semenanjung Gaza, minggu lalu.
Mereka menyifatkan mangsa sebagai anggota kanan Hamas yang aktif sejak 2004 sebagai sebahagian daripada sel yang bertanggungjawab melakukan serangan maut di Israel.
Pihak berkuasa Israel mengenal pasti beliau sebagai dalang serangan pada Ogos 2004 di bandar Beer Sheva, selatan Israel, di mana pejuang berani mati meletupkan dua buah bas secara serentak.
“Beliau menghantar beberapa pejuang berani mati untuk melakukan serangan terancang ke atas dua buah bas di Beersheva, yang mengorbankan 16 orang awam Israel dan mencederakan kira-kira 100 yang lain,” menurut kenyataan itu.
Haymouni sebelum ini pernah ditahan dan dijatuhi hukuman, namun dibebaskan pada 2011 sebagai sebahagian daripada perjanjian Shalit.
Melalui perjanjian itu, Israel membebaskan lebih 1,000 tahanan Palestin sebagai pertukaran untuk pembebasan tentera mereka, Gilad Shalit.
Pejuang Palestin menahan Shalit pada 2006 semasa serbuan rentas sempadan berhampiran lintasan Kerem Shalom dan menjadikannya tebusan selama lima tahun, di mana kes berkenaan menjadi isu nasional yang besar di Israel.
Kenyataan tentera dan Shin Bet itu mendakwa bahawa selepas dibebaskan, Haymouni kembali merekrut penyerang dan mengarahkan aktiviti penentangan.
Tambah kenyataan itu, serangan ke atas Haymouni juga dilakukan sebagai tindak balas terhadap pelanggaran gencatan senjata yang sedang berlangsung di Gaza.
“Semasa peperangan, beliau terbabit dalam pengeluaran dan pemasangan peranti letupan yang bertujuan untuk mencederakan Pasukan Pertahanan Israel (IDF),” katanya, merujuk kepada perang di Gaza yang dicetuskan oleh serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Gencatan senjata Gaza yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) memasuki fasa kedua bulan lalu, yang memperuntukkan pelucutan senjata di wilayah berkenaan termasuk Hamas bersama dengan pengunduran tentera Israel secara berperingkat.
Hamas menegaskan bahawa pelucutan senjata adalah ‘garisan merah’, walaupun memberi petanda pihaknya boleh mempertimbangkan untuk menyerahkan senjata kepada pihak berkuasa tadbir Palestin pada masa hadapan.
Satu jawatankuasa teknokrat Palestin telah ditubuhkan dengan matlamat untuk mengambil alih tadbir urus harian di Semenanjung Gaza, namun masih tidak jelas bagaimana isu pelucutan senjata itu akan ditangani. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






