Home Luar Negara BUDAK EMPAT TAHUN TERSELAMAT SECARA ‘LUAR BIASA’ SELEPAS JATUH DARI TINGKAT 11

BUDAK EMPAT TAHUN TERSELAMAT SECARA ‘LUAR BIASA’ SELEPAS JATUH DARI TINGKAT 11

15
0

DALIAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun terselamat secara ‘luar biasa’ selepas terjatuh dari tingkap rumahnya di tingkat 11 apartmen ketika cuba melihat kepulangan ibu bapanya.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, menurut South China Morning Post, kejadian yang berlaku pada 11 April lalu itu tular di media sosial selepas dilaporkan oleh agensi berita, Haibao pada awal Mei.

Kanak-kanak yang dikenali sebagai Xiaoming itu dilaporkan terjatuh ketika ditinggalkan bersendirian di rumahnya di Dalian, wilayah Liaoning, timur laut China, sewaktu ibu bapanya keluar menghantar barang.

Ibu mangsa berkata, mereka pada mulanya merancang untuk pulang segera dan yakin dengan keselamatan anak mereka kerana pintu serta skrin tingkap sudah dikunci.

“Kami juga memantau keadaannya pada bila-bila masa menerusi kamera litar tertutup (CCTV). 

“Bagaimanapun, entah bagaimana kanak-kanak itu berjaya mendapatkan kunci skrin tingkap dan membukanya sendiri,” katanya. 

Bapa mangsa yang dikenali sebagai Song berkata, dia menyedari kehilangan anaknya selepas pulang kira-kira dua jam kemudian sebelum menemukan mangsa terbaring di atas lantai simen berhampiran bangunan kediaman mereka.

Katanya, doktor di hospital berdekatan mengesahkan keadaan Xiaoming kritikal akibat patah banyak tulang selain mengalami kerosakan hati, limpa, paru-paru dan buah pinggang.

“Doktor memaklumkan peluang untuk dia hidup hanya lima peratus. Sebaik mendengarnya, kami berasa sangat sedih dan seolah-olah dunia ini runtuh,” katanya.

Katanya, Xiaoming ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) selama 18 hari sebelum dipindahkan ke wad biasa untuk rawatan lanjut dan proses pemulihan.

“Apabila ditanya mengapa dia memanjat tingkap, dia memberitahu sangat rindu dan mahu melihat sama ada kami sudah pulang atau belum,” katanya.

Kejadian kanak-kanak terselamat selepas terjatuh dari bangunan tinggi sering mendapat perhatian di tanah besar China.

Tahun lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di wilayah Hebei terselamat selepas terjatuh dari tingkat 25 dan mendarat di platform tingkat tujuh.

Namun, ada juga yang tidak bernasib baik termasuk kejadian di wilayah Hainan tahun lalu membabitkan kanak-kanak tiga tahun yang maut selepas terjatuh dari koridor tingkat 27 ketika ditinggalkan bersendirian.

Undang-undang Perlindungan Kanak-kanak Bawah Umur di China menetapkan ibu bapa atau penjaga tidak boleh meninggalkan kanak-kanak bawah lapan tahun tanpa pengawasan, namun jarang ada individu yang didakwa sekiranya berlaku kemalangan.-Agensi, HMetro Online-

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here