ASHDOD: Menteri Keselamatan Negara sayap kanan Israel pada Rabu memuat naik satu video yang menunjukkan aktivis yang ditahan daripada flotila menuju ke Gaza melutut dengan tangan mereka terikat dan dahi mencecah tanah, sekali gus mencetuskan kecaman antarabangsa.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, video yang dikongsi di platform X oleh menteri kontroversi, Itamar Ben Gvir itu diterbitkan selepas tentera Israel memintas kapal-kapal flotila berkenaan di laut dan menahan ratusan aktivis asing di pelabuhan selatan Ashdod.
Rakaman berkenaan yang dimuat naik dengan kapsyen “Selamat Datang ke Israel” mencetuskan kemarahan segera di peringkat antarabangsa dan Ben Gvir turut menerima kritikan daripada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu serta Menteri Luar, Gideon Saar.
Video itu turut memaparkan puluhan aktivis dipaksa melutut dengan tangan terikat dan dahi menyentuh tanah manakala lagu kebangsaan Israel kedengaran dimainkan. Turut kelihatan Ben Gvir mengusik dan mengibarkan bendera Israel.
Tindakan itu mengundang kemarahan Netanyahu yang menyifatkannya sebagai “tidak sejajar dengan nilai dan norma Israel,” sambil menegaskan bahawa pihak berkuasa akan mengusir aktivis berkenaan secepat mungkin.
Duta Amerika Syarikat (AS) ke Israel, Mike Huckabee turut mengecam tindakan itu dengan menyifatkannya sebagai mencemarkan maruah negara walaupun beliau menganggap flotila berkenaan sebagai satu tindakan yang tidak bijak.
Pesuruhjaya Kesatuan Eropah, Hadja Lahbib turut menegaskan bahawa tiada sesiapa patut dihukum kerana mempertahankan kemanusiaan, manakala Belgium dan Perancis bertindak memanggil duta Israel di ibu negara masing-masing sebagai tanda bantahan terhadap tindakan yang tidak boleh diterima itu.
Kira-kira 50 kapal di bawah Global Sumud Flotilla belayar dari Turkiye minggu lalu dalam usaha terbaharu aktivis untuk menembusi sekatan Israel ke atas Gaza, selepas tentera Israel memintas konvoi sebelumnya pada bulan lalu.
Pihak berkuasa Israel menyatakan seramai 430 aktivis di atas kapal flotila itu dalam perjalanan ke Israel manakala Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) memaklumkan beberapa daripada mereka sudah tiba di pelabuhan Ashdod dan kini ditahan di situ.
Saar berkata, Ben Gvir dengan sengaja menjejaskan imej negara melalui paparan video berkenaan. Namun, Ben Gvir mempertahankan tindakannya.
Adalah menyifatkan tindakan Israel sebagai dasar jenayah yang membabitkan penderaan dan penghinaan terhadap aktivis yang cuba menentang apa yang mereka dakwa sebagai pelanggaran berterusan terhadap rakyat Palestin.
Negara seperti Kanada, Australia, New Zealand, Sepanyol, Poland dan Turkiye turut mengecam insiden itu dengan Perdana Menteri Kanada, Mark Carney menyifatkan layanan terhadap orang awam di atas kapal flotila itu sebagai amat menjijikkan dan akan memanggil duta Israel.
Menteri Luar Ireland, Helen McEntee pula meluahkan rasa terkejut dengan video itu dan menuntut pembebasan segera semua aktivis termasuk saudara perempuan kepada Presiden Catherine Connolly yang turut berada dalam tahanan berkenaan. – AFP, Hmetro Online –
IMedikel TV






