Home Sukan MARESCA DIBERI DANA BESAR BINA SEMULA MAN CITY

MARESCA DIBERI DANA BESAR BINA SEMULA MAN CITY

MANCHESTER: Enzo Maresca dilapor bakal diberi dana 200 juta pound (RM1.07 bilion) apabila mengambil alih tugas sebagai pengendali baharu Manchester City musim panas ini menggantikan Pep Guardiola.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, pengendali berusia 46 tahun itu bakal memikul tugas besar selepas Guardiola membantu City memenangi 20 trofi sepanjang tempohnya di Stadium Etihad.

Maresca dijangka diberikan sokongan penuh dalam usaha membentuk semula skuad selepas gagal mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang dimenangi Arsenal musim ini.

Selain pemergian Guardiola, City juga dijangka kehilangan beberapa tonggak utama termasuk Bernardo Silva dan John Stones yang dikatakan bakal meninggalkan kelab.

Menurut laporan, City sudah mengenal pasti tiga sasaran utama untuk dibawa masuk menjelang musim 2026-27. Antara pemain yang berada dalam radar ialah bintang Nottingham Forest, Elliot Anderson. 

Pemain tengah England berusia 23 tahun itu memainkan peranan penting membantu Forest mengelak penyingkiran selain mara ke separuh akhir Liga Europa. Anderson turut dikaitkan dengan Manchester United dan dilaporkan memiliki nilai perpindahan sekitar 100 juta pound (RM536 juta). 

City turut memburu pertahanan kanan Brentford, Michael Kayode yang menyerlah musim ini selepas menyertai kelab itu secara tetap daripada Fiorentina. Pemain berusia 21 tahun itu mendapat perhatian menerusi keupayaan lontaran jauh selain aksi konsisten bersama Brentford.

Satu lagi sasaran City ialah penyerang muda Bournemouth, Junior Eli Kroupi yang mempamerkan aksi cemerlang dalam musim pertamanya di Liga Perdana Inggeris. Pemain berusia 19 tahun itu sudah menjaringkan 13 gol dalam 32 penampilan dan turut dicalonkan bagi anugerah Pemain Muda Terbaik liga.

Kroupi sebelum ini dibeli Bournemouth dari Lorient pada Januari tahun lalu sebelum dipinjamkan semula hingga penghujung musim. Gol terbarunya ketika seri 1-1 menentang City baru-baru ini membantu Arsenal mengesahkan kejuaraan liga selain memastikan Bournemouth layak ke pentas Eropah buat kali pertama.

Bagaimanapun, Bournemouth dilaporkan tidak bercadang melepaskan Kroupi sebelum tahun depan, sekali gus menjadikan usaha City mendapatkan pemain muda Perancis itu lebih sukar menjelang jendela perpindahan musim panas nanti. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here