Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Empat motosikal trafik milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) musnah dalam kebakaran di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.27 pagi itu, sebuah motosikal awam turut musnah selain kebakaran membabitkan sebahagian bangunan di kawasan berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi sistem NG999 sebelum sepasukan anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Jentera bomba tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian iaitu pada jam 2.32 pagi.
“Setibanya pasukan operasi di lokasi, komander operasi membuat pemeriksaan dan mendapati kebakaran membabitkan empat motosikal trafik polis, sebuah motosikal awam serta bangunan.
“Anggaran kemusnahan bagi motosikal yang terlibat adalah 100 peratus manakala bangunan mengalami kerosakan sekitar 10 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi pemadaman dikendalikan seramai 10 anggota BBP Pasir Puteh dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Kebakaran dikawal pada jam 2.43 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.40 pagi.
Kes kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
IMedikel TV






