Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan akan menggunakan taktik penyamaran sebagai penumpang bas ekspres bagi memantau tahap pematuhan pemandu terhadap undang-undang jalan raya sepanjang musim perayaan Aidiladha.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, setiap perjalanan bas ekspres akan dipantau anggota penguat kuasa bagi memastikan aspek keselamatan penumpang sentiasa diberi perhatian.

“Anggota yang terbabit dalam operasi itu termasuk mereka yang kebetulan pulang ke kampung atau bergerak ke destinasi lain, selain anggota dari negeri luar yang pulang ke Kelantan.
“Kita juga akan lakukan pemantauan di Terminal Bas Lembah Sireh, Kota Bharu untuk memeriksa sekiranya ada bas yang mempunyai saman tertunggak, lesen memandu pemandu bas, buku log pemandu, pemandu kedua dan pemeriksaan teknikal bas termasuk brek, tayar dan lampu,” katanya pada sidang media di JPJ Kelantan, hari ini.
Beliau berkata, bagaimanapun tiada sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan sepanjang Aidiladha bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Mohd Misuari berkata, pelaksanaan Ops Khas Selamat Hari Raya Aidiladha (HRAA) bermula 24 hingga 31 Mei depan membabitkan 187 anggota penguat kuasa, 33 kenderaan penguat kuasa dan 50 pasukan operasi.
Katanya, operasi khas itu akan memberi tumpuan kepada sembilan kesalahan utama termasuk tidak mematuhi had laju, memotong di garisan berkembar dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
“Dalam Ops Khas HRAA ini, kita akan memberi tumpuan khusus kepada sembilan kesalahan utama termasuk tidak mematuhi had laju, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan lain-lain lagi,” katanya.
IMedikel TV






