WASHINGTON: Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio mendakwa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lewat mengenal pasti penularan wabak Ebola yang membawa maut.
Ketika ditanya mengenai bagaimana AS akan bertindak balas terhadap penularan virus itu, Rubio berkata, peneraju utama iaitu Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dan WHO, agak malang kerana lambat mengenal pasti perkara ini.
Susulan itu, Presiden AS, Donald Trump, yang menghentikan pembiayaan agensi itu selepas kembali memegang jawatan tahun lalu, memulakan proses pengunduran AS daripada WHO yang dikritik hebat olehnya berhubung pengendalian pandemik COVID-19.
Trump turut mengurangkan secara drastik bantuan luar AS dengan membubarkan Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID), yang sebelum ini penyedia bantuan kerajaan terbesar dunia, dengan alasan AS perlu lebih menumpukan kepada kepentingannya sendiri.
Pandemik global itu memberi kesan besar kepada pentadbiran pertamanya beberapa bulan sebelum beliau tewas dalam pilihan raya 2020 kepada Joe Biden.
WHO terpaksa mengurangkan operasi susulan penamatan pembiayaan oleh AS yang sebelum ini menjadi penyumbang terbesar dengan lebih AS$1 bilion diperuntukkan setiap tahun di bawah pentadbiran Biden.
Sementara itu, seorang pegawai kanan Jabatan Negara AS yang enggan dikenali berkata, badan PBB itu mengambil masa 10 hari untuk mengesahkan penularan Ebola.
“Kami kini sudah memasuki hari keempat, yang sepatutnya kami boleh berada pada hari ke-14.
“WHO gagal berkali-kali. Sudah tentu semua orang maklum apa yang mereka lakukan dengan melindungi pandemik Covid-19 bagi pihak Parti Komunis China,” katanya.
Bagaimanapun WHO menafikan tuduhan AS bahawa badan itu terlalu berlembut dengan China atau membenarkan negara itu menyembunyikan penularan COVID-19, sambil menegaskan ia perlu bekerjasama dengan semua negara.
Jabatan Negara AS mengumumkan bahawa pihaknya akan membiayai sehingga 50 pusat rawatan Ebola di Republik Demokratik Congo atau Uganda menerusi dana awal AS$13 juta (RM51.714 juta) daripada AS.
Rubio berkata, kawasan terjejas sukar diakses kerana ia berada di lokasi yang sukar dimasuki dalam negara yang dilanda perang.
Jabatan Negara AS dalam satu kenyataan berkata, negara itu mempunyai komitmen kukuh untuk memastikan tindak balas ini mendapat sumber mencukupi, pantas dan dijalankan secara kerjasama antara rakan kesihatan global serta kemanusiaan utama.
WHO berkata, pihaknya bimbang terhadap skala dan kelajuan penularan Ebola yang menurut pihak berkuasa Republik Demokratik Congo menyebabkan 136 kematian disyaki setakat ini. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






