Home Buletin Semasa JKM, KPM BANTU RINGANKAN TEKANAN GURU KAUNSELING MELALUI KAUNSELING

JKM, KPM BANTU RINGANKAN TEKANAN GURU KAUNSELING MELALUI KAUNSELING

24
0

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam membantu mengurangkan tekanan mental dan emosi guru menerusi khidmat kaunseling serta sokongan psikologi.

Pengarah JKM Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh berkata walaupun isu beban tugas guru di bawah tanggungjawab KPM, JKM turut mengambil berat kebajikan dan kesejahteraan emosi golongan pendidik.

“Guru kini berdepan pelbagai cabaran termasuk tugas pengajaran, pentadbiran dan isu sosial melibatkan pelajar yang boleh memberi kesan psikologi.

“KPM sudah menjalankan kajian berkaitan beban tugas guru, namun JKM juga bersedia membantu dari aspek sokongan emosi dan kebajikan individu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Pra Sekolah dan Asuhan Kelantan (Perasko) Kali Ke-27 di sini, kelmarin.

Che Samsuzuki berkata, JKM mempunyai pegawai kaunselor dan pembantu kaunselor di setiap daerah bagi membantu kes melibatkan tekanan emosi, trauma dan kecemasan.

Jelasnya, bantuan itu bukan sahaja melibatkan guru, malah murid, ibu bapa dan keluarga yang berdepan isu sosial seperti penderaan, penganiayaan dan kebakaran.

“JKM juga bekerjasama dengan sekolah dan KPM dalam membantu murid yang memerlukan perlindungan dan pemulihan supaya guru tidak menanggung beban secara bersendirian,” katanya.

Beliau turut menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kes kanak-kanak terabai atau penderaan kepada JKM bagi membolehkan tindakan segera diambil.

“Orang ramai boleh menghubungi Talian Kasih 15999 atau merujuk terus ke pejabat JKM daerah masing-masing,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here