Home Buletin Semasa REMAJA 13 TAHUN MAUT DALAM KEMALANGAN TIGA MOTOSIKAL DI GUA MUSANG

REMAJA 13 TAHUN MAUT DALAM KEMALANGAN TIGA MOTOSIKAL DI GUA MUSANG

36
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

GUA MUSANG: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga buah motosikal di Jalan Paloh 2 di sini, 17 April lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima makluman daripada Hospital Gua Musang kira-kira jam 11.30 pagi tadi memaklumkan mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Gua Musang.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 2 petang 17 April lalu apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis SM Sport dari arah Paloh 1 menuju Paloh 3 dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah motosikal Honda yang berada di hadapannya.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa hilang kawalan dan terjatuh sebelum dirempuh sebuah lagi motosikal Yamaha yang datang dari arah belakang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan parah dan menerima rawatan awal di Klinik Kesihatan Chiku 3 sebelum dirujuk ke Hospital Gua Musang bagi rawatan lanjut.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada 10.41 pagi tadi ketika menerima rawatan di hospital berkenaan sebelum dibawa ke Unit Forensik untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Sehubungan itu, polis meminta saksi kejadian atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-912 1222. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here