Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PASIR MAS:Trend penggunaan vape dalam kalangan remaja bawah umur di Kelantan semakin membimbangkan apabila seramai 214 Orang Belum Dewasa (OBD) dikenakan kompaun dalam tempoh Januari hingga April lalu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Mohd Azman Yaacob berkata, kebanyakan individu yang dikenakan tindakan adalah berusia antara 15 hingga 16 tahun di bawah peruntukan Seksyen 17(1).
“Keadaan itu amat membimbangkan memandangkan akses kepada vape kini semakin mudah diperoleh melalui penjualan secara terbuka mahupun berselindung di sebalik perniagaan lain,” katanya
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Operasi Mega Bersepadu Penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas, di sini, hari ini
Beliau berkata, pihaknya turut berdepan cabaran besar dalam membendung penggunaan vape kerana reka bentuk produk berkenaan menyerupai peranti elektronik yang mudah menarik minat golongan muda.
“Usaha berterusan perlu diperkukuh melalui kempen kesedaran agar golongan muda memahami risiko kesihatan akibat penggunaan vape.
“Mereka tahu rokok dan vape berbahaya kepada kesihatan, tetapi masih mencubanya. Perkara ini yang kita mahu ubah,” katanya.
Tegasnya walaupun pihak berkuasa tempatan tidak meluluskan lesen khusus penjualan vape, masih terdapat premis yang dikesan menjalankan aktiviti jualan secara tersembunyi.
JKNK, katanya, akan mempergiatkan usaha advokasi di institusi pendidikan dan masjid selain memperkukuh penguatkuasaan bersama pelbagai agensi berkaitan.
“Kita tidak mampu melakukan penguatkuasaan 24 jam kerana remaja boleh menghisap vape di lokasi tersorok,” katanya.
Beliau turut memaklumkan operasi bersepadu itu membabitkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), KPDN, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Setiap agensi mempunyai bidang kuasa masing-masing dan tindakan penguatkuasaan secara bersepadu lebih berkesan,” katanya.
Menurut beliau, dalam tempoh sama, sebanyak 6,032 premis diperiksa di seluruh Kelantan dengan 3,866 notis dikeluarkan di bawah Seksyen 47, membabitkan kompaun berjumlah RM907,500.
Selain itu, sebanyak 5,227 sesi nasihat dan advokasi turut dilaksanakan kepada premis yang diperiksa di seluruh negeri.
IMedikel TV






