Home Buletin Semasa POLIS KELANTAN RAMPAS LEBIH RM10 JUTA BARANGAN KONTRABAN

POLIS KELANTAN RAMPAS LEBIH RM10 JUTA BARANGAN KONTRABAN

30
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Polis Kelantan merampas pelbagai barangan kontraban bernilai lebih RM10 juta bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, sebanyak 375 kes membabitkan barangan kontraban berjaya dikesan dengan nilai rampasan keseluruhan RM10,186,317 serta 212 tangkapan dibuat sepanjang tempoh berkenaan.

Menurut beliau, dalam tempoh sama, pihaknya turut merekodkan 135 kes melibatkan barangan subsidi dengan nilai rampasan RM215,725 serta 70 tangkapan.

“Selain itu, polis turut menahan 102 pendatang tanpa izin (PTI) dari pelbagai negara serta 47 transporter yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penyeludupan rentas sempadan secara haram.

“Mutakhir ini, isu penyeludupan dan jenayah rentas sempadan terus menjadi cabaran utama kepada PDRM Kelantan. Justeru, kita bersama agensi penguat kuasa lain sentiasa mempertingkatkan operasi, kawalan keselamatan dan tindakan penguatkuasaan di kawasan sempadan Malaysia–Thailand,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini. 

Dalam pada itu Mohd Yusoff berkata, hasil risikan mendapati sindiket penyeludupan kini mengubah taktik dengan menggunakan laluan persisir pantai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Oleh itu kita memerlukan seluruh anggota pasukan sentiasa berada dalam keadaan siap siaga kerana ancaman penyeludupan tidak hanya tertumpu di daerah sempadan seperti Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli, malah turut berpotensi berlaku di kawasan lain yang dijadikan laluan transit,”katanya.

Katanya, statistik semasa menunjukkan kegiatan penyeludupan dan kontraban masih aktif serta memerlukan komitmen berterusan semua pihak bagi membendungnya secara menyeluruh.

Sehubungan itu, beliau menegaskan komitmen PDRM Kelantan untuk terus memperkukuh risikan, mempertingkat kesiapsiagaan serta mempererat kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa lain.

Dalam masa sama, beliau turut memberi amaran tegas kepada warga PDRM Kelantan supaya tidak bersekongkol dengan mana-mana sindiket penyeludupan.

“Amanah dan integriti pasukan mesti sentiasa dipertahankan. Saya tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana anggota yang terbabit dengan rasuah, pembocoran maklumat atau salah laku. Tindakan tegas akan diambil,” katanya. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here