Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Polis Kelantan menumpaskan sindiket pecah rumah membabitkan kerugian lebih RM400,000 selepas penahanan tiga lelaki pada 10 Mei lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kejayaan itu hasil operasi dan serbuan yang dijalankan antara 10 hingga 13 Mei lalu di sekitar Kota Bharu.
“Hasil operasi berkenaan polis menahan tiga lelaki berusia antara 28 hingga 36 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah tersebut.
“Dalam kes ini, kita berjaya menyelesaikan 12 kes pecah rumah di daerah Kota Bharu dengan kerugian keseluruhan lebih kurang RM400,000,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, modus operandi kumpulan berkenaan adalah dengan melakukan tinjauan terhadap rumah yang ditinggalkan kosong sebelum memecah masuk ketika penghuni keluar bekerja.
“Mereka akan membuat tinjauan seawal 8 hingga 9 pagi untuk mengenal pasti rumah sasaran.
“Kebanyakan kejadian berlaku pada waktu siang ketika penghuni tiada di rumah,” katanya.
Tambah beliau, siasatan turut mendapati sindiket berkenaan aktif dalam tempoh tiga hingga empat bulan sebelum ditumpaskan.
“Hasil semakan rekod mendapati suspek mempunyai 14 rekod berkaitan dadah dan 16 rekod jenayah lain, manakala semua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine,”katanya.
Beliau berkata pihaknya turut merampas pelbagai peralatan termasuk 18 utas barang kemas, sebuah kereta, jam tangan dan telefon bimbit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
IMedikel TV






