Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Dua buruh dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh lelaki orang kurang upaya (OKU) di Kampung Binjai, di sini, 13 April lalu.
Tertuduh, Muhammad Hakim Zikrullah Mohd Zamran, 25, dan Mohamed Eerman Daniel Mohamed Afrizal, 27, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan memandangkan kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membunuh lelaki OKU pembelajaran, Muhammad Zakir Fikry Mohd Zainal, 20, pada jam lebih kurang 11 malam di Kampung Binjai, di sini, 13 April lalu.
Perbuatan itu didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 tahun hingga 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah dihukum dengan 12 sebatan.
Mahkamah menetapkan 6 Julai depan bagi mendapatkan laporan pakar.
Sementara itu, dalam pertuduhan berasingan di Mahkamah Sesyen, dua tertuduh tersebut turut dituduh bersama Mohamad Areef Mohd Zuki, 25, dan Mohamad Aiman Shah Mohd Azizi, 26, atas pertuduhan melupuskan bahan bukti dengan membuang mangsa di tepi jalan, 14 April lalu.
Bagaimanapun kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa mengetahui pembunuhan terhadap mangsa, Muhammad Zakir Fikry dan membuang mangsa di tepi jalan dengan niat mengelakkan Muhammad Hakim Zikrullah dan Mohamed Eerman Daniel daripada hukuman undang-undang.
Perbuatan itu dilakukan pada jam lebih kurang 3.30 pagi di tepi jalan Kampung Chap Bekelam, Bachok, 14 April lalu.
Pendakwaan itu dibuat di bawah Seksyen 201 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Kamilah Che Ibrahim manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Nur Kamilah tidak mencadangkan jaminan terhadap kesemua tertuduh kerana kes tidak boleh dijamin.
Mahkamah kemudian menetapkan 25 Jun depan bagi sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan, remaja lelaki OKU pembelajaran, Muhammad Zakir Fikry Mohd Zainal, 20, maut dipercayai akibat dipukul.
Mangsa yang cedera parah di kepala meninggal dunia pada jam 12.55 pagi ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
IMedikel TV






