Home Buletin Semasa LELAKI DITEMUI MAUT DALAM BILIK AIR

LELAKI DITEMUI MAUT DALAM BILIK AIR

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah

KOTA BHARU: Seorang lelaki ditemukan maut dengan beberapa kesan tikaman pada tubuhnya dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Masjid Baung Bayam, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.05 petang itu, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung seorang lelaki yang dipercayai menikam dirinya sendiri di dalam bilik air rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, hasil siasatan mendapati mangsa adalah lelaki tempatan berusia 28 tahun yang bekerja di Pasir Gudang, Johor sebelum pulang bercuti di kampung halaman pada 16 Mei lalu.

“Saksi adalah ibu saudara mangsa yang pergi ke bilik air rumah itu menemukan darah di lantai sebelum melihat mangsa dalam keadaan berlumuran darah sambil memegang pisau, selain terdapat kesan luka pada leher.

“Siasatan lanjut mendapati mangsa tidak mempunyai sejarah penyakit, namun dipercayai pernah terbabit dalam penyalahgunaan dadah sejak setahun lalu ketika mula bekerja di Johor.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati terdapat dua kesan tikaman di bahagian dagu, satu tikaman di tenggorok serta satu tikaman kecil pada bahagian perut mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, pihak polis turut mendapati tiada sebarang kesan pergelutan mahupun unsur jenayah di tempat kejadian.

Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 1.15 petang oleh pegawai perubatan yang bertugas sebelum mayat dihantar ke Unit Forensik, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi tujuan bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah disebabkan luka tikaman pada bahagian leher,” katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu sementara siasatan dijalankan pihak polis.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here