BANGKOK: Memetik laporan AGENSI menerusi Harian Metro, seorang lagi anggota tentera Thailand disahkan terkorban dalam pertempuran di Bukit 677, Ubon Ratchathani, menjadikan jumlah kematian tentera meningkat kepada 10 berikutan pertempuran sengit dengan pasukan Kemboja, lapor Bangkok Post.
Internal Security Operations Command mengumumkan berita itu pada Jumaat melalui Facebook rasmi mereka, sambil menyatakan kesedihan bagi pihak rakyat Thailand.
Tentera terkorban, Sarjan Phatchara Yaemtangon berkhidmat dengan Batalion Operasi Khas ke-2 Rejimen Pasukan Khas ke-1, dikenali sebagai ‘Pa Wai Rangers’, berpangkalan di Lop Buri.
Beliau dikerahkan bersama unit pertempuran Tentera Darat Kedua sebagai operator radio lapangan apabila sebuah alat letupan mengenainya secara terus, mengakibatkan kematiannya serta-merta di Bukit 677, Nam Yuen.
Dalam pada itu, jurucakap Kementerian Pertahanan, Laksamana Muda Surasant Kongsiri berkata, pasukan Kemboja terus melancarkan serangan hebat sepanjang sempadan, terutamanya di wilayah Sa Kaeo.
Beliau menambah, langkah strategik yang dilancarkan oleh pasukan Thailand pada malam Khamis lalu masih diteruskan.
Katanya, pada pagi Jumaat, Tentera Laut Diraja Thailand memusnahkan pusat kawalan Kemboja yang mengarahkan pencerobohan dan operasi masih berlangsung.
Sementara itu, timbalan jurucakap Tentera Darat Diraja Thailand, Kolonel Ritcha Suksuwannont berkata, pasukan Thailand sudah menguasai sepenuhnya Ban Nong Ya Kaeo di daerah Khok Sung, Sa Kaeo.
Di Ban Khlong Phaeng, daerah Ta Phraya, tentera Kemboja melancarkan serangan roket BM-21 yang menyebabkan tentera Thailand cedera ketika mereka menyanyikan lagu kebangsaan.
Selepas penilaian, kawasan itu dianggap tidak boleh dipertahankan, menyebabkan penempatan semula anggota tentera Thailand.
Pasukan Kemboja kemudian menurunkan bendera Thailand, tetapi pasukan Thailand berusaha secara aktif untuk menguasai semula kawasan itu.
Bagaimanapun, tentera Thailand menganggarkan 165 tentera Kemboja terbunuh sejak permulaan pertikaian terbaru.
Sementara itu, Phnom Penh pula masih belum mengeluarkan sebarang maklumat rasmi mengenai korban tentera Kemboja. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






