Oleh: Afrizam Arif@Imedikel TV
KOTA BHARU: Suasana pilu mengiringi pengebumian jenazah anggota tentera, Sarjan Fahmey Darus, 39, yang maut dalam kemalangan membabitkan lori lima tan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sebuah Proton Wira di Bukit Belah, Machang, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Nibong, Kampung Padang Kala Melor, di sini, pada 3.10 petang, semalam.
Kakak keduanya, Haniza Darus, 55, berkata adiknya itu menunjukkan perubahan ketara sejak seminggu lalu apabila menjadi lebih pendiam, namun keluarga tidak menyangka ia petanda sebelum pemergiannya.

Beliau berkata, pertemuan terakhir mereka berlaku pada Rabu di sebuah kedai makan, ketika arwah singgah sebentar sebelum pulang.
“Berita kemalangan diterima sekitar 7.30 malam kelmarin selepas dihubungi isteri arwah, Nur Muzalifah Yahaya, 40, yang juga anggota tentera bertugas di Pengkalan Chepa.
“Arwah sepatutnya bersara April tahun depan dan pada masa ini dia tengah siapkan rumah,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan, semalam.
Menurut Haniza, Allahyarham Fahmey adalah anak kelapan daripada 10 beradik, meninggalkan lima anak berusia tiga hingga 14 tahun.
Beliau sebelum ini bertugas di Pahang selama tiga tahun sebelum kembali berkhidmat di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas.
Jenazah tiba di rumah pada 1.15 tengah hari sebelum disolatkan di Masjid Padang Kala, Melor dan kemudian dibawa ke Masjid Mukim Padang Kala, seterusnya diimamkan sendiri oleh anak sulungnya, Ahmad Dhia UrrRahman, 14.

Sementara itu, anak saudara mangsa, Nor Fadhilah Che Hassan, 35, yang mesra memanggil arwah sebagai ‘Pak Teh’ berkata mereka sangat rapat kerana membesar bersama-sama sejak kecil.
Menurut Nor Fadhilah, kemalangan berlaku apabila lori tentera terbabit terbalik dan pintunya terkena kepala arwah sehingga tersepit, menyebabkan Sarjan Fahmey meninggal dunia di tempat kejadian.
“Dalam kemalangan ini, empat lagi individu iaitu tiga anggota tentera dan pemandu Proton Wira mengalami kecederaan.
Katanya, tragedi itu turut meragut peluang Sarjan Fahmey untuk menerima sebuah motosikal yang dimenanginya menerusi cabutan bertuah anjuran syarikat minyak wangi tempatan yang diumumkan minggu lalu.
IMedikel TV






