Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Sebanyak 25 pengusaha nasi kerabu di Kelantan diberi peluang menggunakan Cap Kolektif Nasi Kerabu Kelantan selepas memenuhi standard kualiti dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi melindungi keaslian makanan tradisional itu.
Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Yusnieza Syarmila Yusoff berkata, penggunaan cap kolektif berkenaan bukan sahaja bertujuan memperkukuh identiti Nasi Kerabu Kelantan, malah memastikan makanan warisan itu terus dipelihara tanpa menjejaskan keaslian resipi turun-temurun.

Menurutnya, cap kolektif berkenaan berjaya didaftarkan pada 29 Julai 2026 hasil kerjasama strategik antara MyIPO, Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO), Kerajaan Negeri Kelantan, Persatuan Pengusaha Nasi Kerabu Kelantan (PERMEKA) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Beliau berkata, UMK dilantik sebagai perunding tempatan bagi membantu proses penyediaan dan pendaftaran cap kolektif berkenaan, manakala PERMEKA bertindak sebagai badan yang mewakili pengusaha terlibat.
“Melalui inisiatif ini, kita mahu mengangkat Nasi Kerabu Kelantan daripada sekadar makanan tradisi kepada satu identiti jenama bersama yang dilindungi undang-undang serta mempunyai nilai komersial.
“Kita mahu pengusaha kecil dan sederhana bernaung di bawah satu payung penjenamaan yang kukuh bagi meningkatkan keyakinan pengguna tanpa menghilangkan keaslian resipi turun-temurun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Cap Kolektif Nasi Kerabu Kelantan di sebuah hotel di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Zameri Mat Nawang.
Mengulas lanjut, Yusnieza berkata, Nasi Kerabu Kelantan dipilih sebagai projek perintis sejak fasa pertama kajian pada 2021 berikutan kedudukannya sebagai antara tarikan makanan utama negeri itu selain diiktiraf sebagai objek warisan tidak ketara kebangsaan.
Bagaimanapun, katanya, pengusaha yang mahu menggunakan logo rasmi cap kolektif berkenaan perlu mematuhi standard minimum yang dipersetujui bersama, termasuk penggunaan bahan dan ulam-ulaman tertentu bagi memastikan keaslian hidangan berkenaan terpelihara.
“Antara ketetapan yang dikenal pasti termasuk penggunaan bunga telang sebagai pewarna semula jadi nasi, budu serta ulam-ulaman tradisional seperti daun kesum dan daun selom,” katanya.
Katanya, pengusaha yang tidak memenuhi kriteria berkenaan masih boleh menjual nasi kerabu menggunakan jenama masing-masing, namun tidak dibenarkan menggunakan nama dan logo rasmi Cap Kolektif Nasi Kerabu Kelantan.
“Kalau seseorang pengusaha mahu menggunakan logo cap kolektif ini, mereka perlu menjadi ahli persatuan dan bersetuju mematuhi SOP serta standard kualiti yang ditetapkan.
“Jika tidak memenuhi syarat, mereka tidak boleh menggunakan logo berkenaan. Ini penting supaya identiti dan kualiti Nasi Kerabu Kelantan dapat dikekalkan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pendaftaran cap kolektif itu turut menjadi projek perintis bagi membuka ruang kepada perlindungan harta intelek berasaskan komuniti, khususnya melibatkan makanan tradisional dan produk tempatan lain.
Menurutnya, MyIPO setakat ini menerima 22 pendaftaran cap kolektif, dengan 17 daripadanya dari dalam negara manakala lima lagi dari luar negara.
Beliau berharap kejayaan projek berkenaan dapat dijadikan contoh kepada komuniti dan pengusaha produk warisan lain untuk membangunkan identiti jenama bersama yang mempunyai perlindungan undang-undang serta potensi komersial.
IMedikel TV






