Home Buletin Semasa PELANCONGAN ISLAM JOHOR SASAR TARIK PELANCONG MUSLIM ANTARABANGSA

PELANCONGAN ISLAM JOHOR SASAR TARIK PELANCONG MUSLIM ANTARABANGSA

Oleh : Wartawan IMedikel TV

JOHOR BAHRU : Johor berpotensi muncul sebagai antara destinasi pelancongan mesra Muslim utama menerusi penawaran produk pelancongan Islam yang merangkumi aspek keagamaan, ekonomi, pendidikan dan kekeluargaan.

Penasihat dan Penaung Persatuan Pelancongan Islam Johor (JITA), Datuk Dr Nooh Gadut berkata, usaha itu bukan sahaja bertujuan menarik kedatangan pelancong Muslim, malah menjadi platform memperkenalkan keindahan Islam kepada masyarakat bukan Islam.

Menurutnya, konsep pelancongan turut mempunyai asas dalam ajaran Islam, termasuk menerusi al-Quran, hadis serta peristiwa hijrah Rasulullah SAW yang membawa nilai pengembaraan dan pengajaran.

“Pelancongan Islam juga boleh menjadi medium dakwah melalui pendekatan teladan dan amalan baik, sekali gus menonjolkan Islam sebagai agama yang membawa rahmat, kasih sayang serta nilai kemanusiaan.

“Memanglah kita mahu bahawa satu tugas kita dalam pelancongan ini, kita nak pamerkan keindahan Islam bukan sahaja kepada orang Islam tetapi yang bukan Islam juga.

“Supaya menampakkan Islam itu syumul, Islam itu ada perikemanusiaan, Islam itu tidak ganas, kasih sayang dan rahmat kepada semua. Jadi melalui pelancongan ini kita dapat berdakwah bil hal, dakwah dengan perbuatan dan menunjukkan keteladanan yang baik,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas JITA Townhall Tea Talk 2026 yang disempurnakan Pengarah Tourism Johor, Mohammad Nazrul Abd Rahim di Berjaya Hotel di sini hari ini.

Noh berkata pendekatan pelancongan berteraskan konsep mesra alam, mesra pelanggan dan mesra syurga perlu diketengahkan bagi memastikan pelancong memperoleh pengalaman serta manfaat menyeluruh sepanjang berada di Johor.

Tambahnya, sektor itu turut berupaya merancakkan ekonomi masyarakat Islam selain menjadi ruang mengeratkan hubungan kekeluargaan menerusi aktiviti pelancongan bersama ahli keluarga.

“Produk pelancongan Islam di negeri ini mempunyai pelbagai tarikan termasuk institusi ekonomi Islam seperti Wakaf An-Nur serta masjid yang boleh diketengahkan sebagai produk pelancongan berasaskan warisan dan keagamaan,”katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Nazrul berkata, Johor mensasarkan 12 juta pelancong dan 25 juta pelawat pada tahun ini.

“Hampir separuh daripada jumlah itu adalah pelancong Muslim.

“Ia menunjukkan Johor sememangnya destinasi pelancongan dan perkhidmatan mesra Muslim,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here