NEW YORK: Pertempuran berterusan di Yaman memaksa semakin ramai penduduk meninggalkan kediaman masing-masing, dengan jumlah mereka yang hilang tempat tinggal kini melebihi 340,000 orang, menurut pegawai kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.
Memetik laporan Xinhua menerusi Berita Harian, Pejabat Hak Asasi Manusia PBB mengesahkan lebih daripada 300 orang awam menjadi mangsa sejak awal Ogos, termasuk lebih 70 orang terkorban dan hampir separuh daripada mereka yang terkorban adalah kanak-kanak.
Menurut pejabat itu, jumlah korban sebenar berkemungkinan jauh lebih tinggi memandangkan angka berkenaan hanya membabitkan kes yang berjaya disahkan oleh PBB.
Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) memaklumkan dua pertiga daripada 340,000 penduduk kehilangan tempat tinggal berasal dari wilayah Taiz.
Sekatan terhadap laluan pengangkutan utama turut mengancam kelancaran penghantaran bantuan penting bagi penduduk yang terjejas.
“Walaupun berdepan pelbagai kekangan, PBB dan rakan kemanusiaannya terus menyalurkan bantuan.
“Setakat ini, bantuan kecemasan telah disalurkan kepada lebih 270,000 penduduk yang kehilangan tempat tinggal, manakala lebih 202,000 orang menerima bantuan tunai kecemasan,” menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA).
OCHA memaklumkan keadaan di bandar Taiz terus meruncing.
Menurut kerajaan, sekatan akses menjejaskan kira-kira 1.3 juta penduduk di lima daerah.
“Bekalan gas memasak dilaporkan tidak dibenarkan memasuki kawasan berkenaan sejak awal Oktober, selain berlaku kekurangan bahan api, makanan dan air,” menurut OCHA.
Pejabat itu turut menggesa semua pihak supaya memastikan keselamatan pelarian, pemohon suaka dan orang awam lain, selain menjamin laluan selamat bagi pelarian yang meninggalkan kem.
OCHA turut menyeru supaya akses bantuan kemanusiaan yang selamat, berterusan dan tanpa halangan dapat dijamin di seluruh Yaman. – BERNAMA, BH Online –
IMedikelTV






