Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
BERA: Seramai 330 petani, penternak dan nelayan daerah ini menerima bantuan dibawah Program Inisiatif Makmur Pahang (IMP) Kluster Petani dan Nelayan Peringkat Daerah ini di Dewan Serbaguna Kompleks Rakan Muda Bera, di sini kelmarin.
Program dibawah kerajaan Pahang itu bertujuan membantu meringankan beban golongan petani, penternak dan nelayan selain menyokong kelangsungan aktiviti ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan golongan sasar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai, Datuk Sabariah Saidin, berkata pelaksanaan inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan Pahang dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan golongan petani, penternak dan nelayan.
Bantuan kewangan yang disediakan bukti perhatian kerajaan negeri kepada golongan terbabit yang mampu memberi manfaat secara langsung kepada mereka.

“Kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan tanggungjawab membela nasib golongan petani, penternak dan nelayan yang sentiasa berusaha memajukan projek masing-masing. Pada masa sama terdapat dikalangan mereka menerima bantuan daripada agensi berkaitan.
“Saya berharap bantuan yang diberikan kerajaan Pahang dapat meningkatkan lagi semangat golongan terbabit untuk terus berusaha memajukan diri seterusnya berupaya memberi pulangan pendapatan lumayan,” katanya.
Beliau menambah, semoga bantuan yang disalurkan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya dan menjadi pemangkin kepada peningkatan produktiviti serta pendapatan golongan sasar.
Sabariah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, berkata di daerah ini ramai yang terbabit dengan aktiviti pertanian dengan mengusahakan tanaman kelapa sawit dan kebun sayur selebihnya sebagai penternak termasuk nelayan darat.

Pegawai Pertanian Daerah Bera, Nurul Akma Ahmad Zabidi, berkata bantuan yang diberikan kerajaan negeri diharap menjadi pencentus pada golongan pekebun untuk terus lebih aktif mengusahakan projek pertanian mereka.
“Daerah ini menjadi antara daerah di Pahang yang mengeluarkan hasil pertanian yang tertinggi membabitkan tanaman kelapa sawit, sayuran, dan buah-buahan.
“Pejabat Pertanian Daerah Bera akan terus berusaha membantu golongan terbabit untuk mencatat pengeluaran hasil pertanian yang lebih tinggi dan memuaskan,” katanya.
IMedikel TV






