Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Sebuah rumah jenis separuh kekal di Taman Kota SPP Warisan, Jalan Berangan, di sini, musnah kira-kira 70 peratus dalam kejadian kebakaran malam tadi.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, Mohd Sabri Bin Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu menerusi talian NG999 pada jam 9.58 malam.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Tumpat bersama bantuan BBP Pengkalan Kubor digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai.

“Jentera tiba di lokasi pada jam 10.03 malam dan hasil pemeriksaan mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis separuh kekal berkeluasan 20 x 60 kaki persegi.
“Kebakaran mengakibatkan kira-kira 70 peratus struktur rumah musnah, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, operasi pemadaman dilaksanakan menggunakan dua aliran air daripada tangki jentera FRT BBP Tumpat dan dua lagi aliran air daripada jentera FRT BBP Pengkalan Kubor bagi mengawal kebakaran daripada merebak.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.24 malam hasil tindakan pantas anggota bomba dari kedua-dua balai berkenaan,” katanya.
Operasi membabitkan seramai 10 anggota, masing-masing enam dari BBP Tumpat dan empat dari BBP Pengkalan Kubor, dengan kekuatan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT).
IMedikel TV






