Home Buletin Semasa ECRL UBAH GAYA HIDUP WARGA KELANTAN, BELI-BELAH, HADIRI MESYUARAT BALIK HARI

ECRL UBAH GAYA HIDUP WARGA KELANTAN, BELI-BELAH, HADIRI MESYUARAT BALIK HARI

Oleh: Afrizam Arif @IMedikel TV

GOMBAK: Pengoperasian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka mengubah gaya hidup rakyat Kelantan apabila perjalanan antara Kota Bharu dan Gombak yang hanya mengambil masa kira-kira empat jam membolehkan pelbagai urusan dilakukan secara pergi dan balik pada hari yang sama.

Menerusi Program Percubaan Perjalanan Tren Electric Multiple Unit (EMU) ECRL, pengamal media dari Kota Bharu berpeluang merasai sendiri pengalaman menaiki tren dari Terminal Bersepadu Tunjong ke Terminal Bersepadu Gombak.

Pengalaman Presiden IMedikel TV, Yusmat Mamat, katanya setelah menempuh perjalanan selama kira-kira empat jam, peserta mengambil kesempatan meneroka ibu negara bagi melihat potensi penggunaan ECRL dalam kehidupan harian apabila perkhidmatan itu beroperasi sepenuhnya nanti.

“Sebaik tiba di Gombak, peserta menjalankan aktiviti bebas termasuk menggunakan kemudahan pengangkutan awam dan perkhidmatan e-panggilan untuk ke pusat bandar Kuala Lumpur.

“Antara lokasi yang menjadi tumpuan ialah Kampung Baru yang terkenal dengan pelbagai hidangan tradisional dan menjadi pilihan untuk makan tengah hari sebelum memulakan aktiviti lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada IMedikel TV semasa Program Percubaan Perjalanan Tren EMU ECRL 2026 bersama media, hari ini.

Menurutnya, selain itu, peserta boleh mengambil inisiatif mengunjungi pusat beli-belah seperi Sogo Kuala Lumpur dan kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) yang terkenal sebagai destinasi membeli-belah utama terutama menjelang musim perayaan dan jualan akhir tahun.

Naib Presiden IMedikel TV, Hasnah Zakaria berkata, kemudahan ECRL memberi peluang kepada penduduk Pantai Timur menikmati pengalaman membeli-belah di ibu negara tanpa perlu menempah penginapan atau memandu dalam tempoh yang panjang.

“Selain aktiviti santai, kemudahan ECRL juga dilihat mampu memberi manfaat kepada penjawat awam, ahli perniagaan dan kakitangan swasta yang mempunyai urusan rasmi atau mesyuarat di Lembah Klang.

“Penumpang menaiki tren pada waktu pagi, menghadiri mesyuarat atau menyelesaikan urusan kerja pada tengah hari sebelum kembali ke Kota Bharu pada hari yang sama,” katanya.

Bagi pengamal media iaitu jurukamera, Shahuri Saidi berkata, pengalaman perjalanan percubaan itu membuktikan ECRL bukan sekadar menawarkan sistem pengangkutan moden yang lebih pantas dan selesa.

“Perkhidmatan ini berupaya merapatkan hubungan antara Pantai Timur dan Lembah Klang serta membuka dimensi baharu kepada gaya hidup dan mobiliti masyarakat,” katanya.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here