Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Pengamal media yang tiba di Terminal Gombak, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tepat jam 11 pagi mengambil kesempatan memanfaatkan masa terluang kira-kira lima jam dengan mengunjungi beberapa lokasi pilihan sekitar ibu negara.
Masing-masing bergerak dalam kumpulan kecil mengikut perancangan tersendiri, termasuk menikmati makan tengah hari, bersantai sambil minum kopi serta mengunjungi pusat beli-belah.
Bagaimanapun, tempoh berkenaan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin memandangkan semua pengamal media perlu kembali ke stesen selewat-lewatnya jam 4 petang bagi persiapan sebelum menaiki tren ECRL untuk perjalanan pulang ke Kota Bharu pada jam 4.30 petang.
Wartawan sambilan Berita Harian, Nor Amalina Alias memilih Wangsa Walk sebagai destinasi pertama untuk menikmati makan tengah hari sebelum meneruskan kunjungan ke Melawati Mall.

“Pilihan itu membolehkan mengisi masa dengan aktiviti santai selain mengambil peluang melihat suasana sekitar ibu negara,” katanya.
Sementara itu, Chi Lian dari TV AlHijrah bersama beberapa pengamal media lain memilih Restoran Hidang sebagai lokasi persinggahan pertama sebaik tiba di Kuala Lumpur.

“Selepas menikmati makan tengah hari bersama rakan media, kami meneruskan aktiviti ke sebuah kafeteria berhampiran untuk menikmati kopi sebelum bergerak ke KL East Mall,” katanya.
Dalam pada itu, wartawan sambilan Utusan Malaysia, Rosliza Mohamad turut memilih Restoran Hidang sebagai destinasi untuk menikmati hidangan tengah hari.

Meskipun mempunyai tempoh masa yang terhad, kesempatan itu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pengamal media dengan memilih lokasi bersesuaian bagi mengisi masa sebelum kembali ke stesen.
Selain menjadi ruang untuk berehat selepas perjalanan, aktiviti berkenaan turut memberi peluang kepada mereka meluangkan masa bersama rakan setugas dalam suasana lebih santai di luar tugasan liputan.
Menjelang jam 4 petang, semua pengamal media perlu kembali berkumpul di Terminal Gombak bagi memastikan urusan sebelum pelepasan berjalan lancar.
Mereka kemudian dijadualkan berlepas pulang ke Kota Bharu pada jam 4.30 petang menerusi perkhidmatan ECRL, sekali gus menamatkan kunjungan singkat di ibu negara.
IMedikel TV






