Home Sukan PATUNG GERGASI MESSI MIRIP RONALDO?

PATUNG GERGASI MESSI MIRIP RONALDO?

KOLKATA: Memetik laporan AGENSI menerusi Berita Harian patung Lionel Messi setinggi 21 meter dibina di Kolkata bagi memperingati lawatan istimewa bintang Argentina itu ke India selama tiga hari.

Patung besi berkenaan menjadi patung pemain bola sepak tertinggi di dunia, dengan ketinggian kira-kira 13 kali ganda daripada susuk tubuh Messi sendiri, dan siap dibina dalam tempoh 40 hari.

Legenda Argentina itu dijadual menghadiri majlis perasmian khas patung berkenaan hari ini, sekali gus menjadi tarikan utama lawatannya ke negara itu.

Patung berkenaan ditempatkan di Lake Town, South Dum Dum, berhampiran Kolkata Time Zone Tower yang juga replika satu pertiga saiz Big Ben di London.

Kehadiran Messi mencetus keterujaan luar biasa dalam kalangan peminat, dengan majlis perasmian dijangka turut disertai rakan senegaranya, Luis Suarez dan Rodrigo De Paul.

Selain itu, penganjur turut menyediakan zon peminat ‘Hola Messi’, termasuk patung Messi setinggi 2.4 meter duduk di atas singgahsana serta replika kediamannya di Miami lengkap dengan patung pemain itu sekeluarga.

Lawatan ini sebahagian daripada jelajah ‘GOAT’ (Greatest of All Time) selama tiga hari di India, yang turut menyaksikan Messi dijangka bertemu Perdana Menteri India, Narendra Modi, serta menghadiri pertunjukan fesyen.

Akhbar tempatan, Aajkaal, melaporkan “seluruh India sedang digegarkan demam Messi”.

Kali terakhir Messi berkunjung ke India ialah pada tahun 2011 ketika Argentina menewaskan Venezuela 1-0 dalam perlawanan persahabatan.

Dilaporkan kira-kira 2,000 anggota polis dikerahkan bagi mengawal keselamatan sepanjang lawatannya ke Kolkata.

“Hampir semua kedai menjual jersi Argentina dan kebanyakannya tertera nama Messi di belakang,” kata seorang peniaga, Mohammad Sabir, kepada Times of India.

Peminat berkemampuan juga dikatakan berpeluang bersalaman dan bergambar secara berkumpulan bersama Messi dengan bayaran melebihi 6,000 pound (RM32,967).

Menurut akhbar Bartaman Patrika, penganjur merancang menghadiahkan pakaian tradisional Bengali kepada Messi, selain menyajikan hidangan istimewa.

Jelajah Messi turut merangkumi bandar Hyderabad, Mumbai dan Delhi.

Proses membawa dan memasang patung itu bukan tugas mudah.

“Kami memerlukan kren serta trak troli untuk mengangkutnya melalui lorong sempit,” kata pengukir, Monti Paul, kepada The Telegraph, sambil menambah bahagian wajah sahaja mengambil masa 15 hari untuk disiapkan.

Bagi mengekalkan unsur kejutan, pihak berkuasa menutup kepala patung itu dengan kain sebelum majlis perasmian.

Namun, tidak semua peminat berpuas hati dengan rupa patung berkenaan, dengan sebahagian mendakwa wajahnya tidak menyerupai Messi.

“Ini langsung tidak kelihatan seperti Messi,” tulis seorang pengguna di media sosial, manakala seorang lagi berseloroh: “Kenapa dia nampak macam Cristiano Ronaldo?” – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here