TEHRAN: Memetik laporan AGENSI menerusi Berita Harian beberapa negara Eropah dilapor memulakan rundingan dengan Iran bagi mendapatkan kebenaran menggunakan laluan perkapalan melalui Selat Hormuz.
Menurut laporan televisyen negara Iran, rundingan berkenaan dimulakan selepas kapal dari dari negara Asia Timur termasuk China, Jepun dan Pakistan dibenarkan melalui laluan strategik terbabit, lapor ArabNews.
“Maklumat diterima menunjukkan negara Eropah sudah memulakan rundingan dengan tentera laut Pengawal Revolusi bagi mendapatkan kebenaran melalui selat itu,” menurut laporan berkenaan tanpa memperincikan negara terbabit.
Iran menyekat sebahagian besar laluan perkapalan di Selat Hormuz sejak tercetusnya perang dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada 28 Februari lalu.
Kawalan ketat Tehran terhadap laluan strategik itu mencetuskan kebimbangan pasaran global kerana Selat Hormuz adalah laluan utama penghantaran minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia.
Dalam keadaan normal, kira-kira satu perlima penghantaran minyak dan LNG dunia melalui selat berkenaan selain pelbagai komoditi penting lain.
Pengawal Revolusi Iran dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, puluhan kapal termasuk dari China, dibenarkan melalui laluan itu selepas persetujuan dicapai mengenai protokol pengurusan selat berkenaan.
Sejak perang tercetus, Iran berulang kali menegaskan trafik maritim di Selat Hormuz tidak akan kembali seperti sebelum konflik berlaku.
Malah bulan lalu, Tehran memaklumkan sudah menerima hasil pertama daripada tol yang dikenakan ke atas kapal menggunakan laluan itu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen Iran, Ebrahim Azizi, berkata Tehran sudah menyediakan mekanisme profesional bagi mengurus trafik di Selat Hormuz dan ia akan diumumkan tidak lama lagi.
Katanya, hanya kapal perdagangan dan pihak yang bekerjasama dengan Iran akan mendapat manfaat daripada mekanisme itu.
Beliau turut menegaskan bayaran tertentu akan dikenakan bagi perkhidmatan khas yang disediakan.
“Laluan ini akan terus ditutup kepada pengendali projek yang digelar ‘projek kebebasan’,” katanya merujuk kepada operasi sementara tentera AS bagi mengiringi kapal perdagangan melalui selat berkenaan. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






