LONDON: Memetik laporan AGENSI menerusi Berita Harian penyokong Chelsea meluahkan kemarahan terhadap VAR dan pengadil Darren England selepas tewas 1-0 kepada Manchester City dalam final Piala FA di Wembley malam tadi.
Jaringan menarik Antoine Semenyo pada minit ke-71 memastikan trofi menjadi milik skuad kendalian Pep Guardiola.
Namun, Chelsea mendakwa mereka dinafikan sekurang-kurangnya dua sepakan penalti di babak kedua.
Insiden pertama membabitkan Jorrel Hato yang terjatuh di dalam kotak penalti ketika diasak pertahanan City, Abdukodir Khusanov.
Khusanov sekali lagi menjadi perhatian apabila dilihat mengasari Joao Pedro di kawasan penalti dalam satu lagi situasi yang mencetuskan bantahan pemain Chelsea.
Skuad kendalian Calum McFarlane turut menuntut penalti selepas rembatan Enzo Fernandez terkena tangan Nico O’Reilly di dalam kotak penalti.
Bagaimanapun, pengadil tidak melayan rayuan itu kerana tangan O’Reilly berada rapat pada badan dan VAR juga tidak melakukan semakan lanjut.
Penyokong Chelsea kemudian membanjiri media sosial dengan kritikan terhadap mutu pengadilan dan penggunaan VAR.
“Harus haramkan VAR sehingga sistem itu diperbaiki,” tulis seorang penyokong.
“Berapa kali Chelsea perlu dirompak sebelum pengadil dan VAR dipertanggungjawabkan?” kata seorang lagi.
Seorang peminat lain menulis: “VAR melakukan apa yang mereka selalu buat terhadap Chelsea. Itu jelas penalti.”
“Ini bukan lagi bola sepak, ini bola sepak VAR dan pengadil,” tulis seorang pengguna media sosial.
Seorang lagi penyokong menambah: “Tiada satu pun kekasaran itu diberikan kepada Chelsea. Mutu pengadilan bola sepak Inggeris semakin teruk walaupun ada VAR.”
Malah ada yang menyifatkan kekalahan itu sebagai “rompakan terang-terangan”. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






