WASHINGTON: Memetik laporan REUTERS menerusi Berita Harian Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memaklumkan pemimpin kanan yang juga Timbalan Ketua Global kumpulan militan Daesh, Abu Bilal al-Minuki, terbunuh dalam operasi bersama tentera AS dan Nigeria.
“Atas arahan saya malam tadi, pasukan tentera AS dan Nigeria melaksanakan misi yang dirancang dengan teliti serta sangat kompleks untuk menghapuskan pengganas paling aktif di dunia dari medan perang.
“Abu Bilal al-Minuki, pemimpin kanan Daesh global, menyangka beliau boleh bersembunyi di Afrika, namun beliau tidak menyedari bahawa kami mempunyai sumber yang sentiasa menyalurkan maklumat mengenai tindak-tanduknya,” kata Trump menerusi hantaran di laman Truth Social.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Nigeria atas perkongsian kerjasama dalam operasi berkenaan.
Nigeria sebelum ini pernah berada di bawah pemerhatian Trump yang mendakwa penganut Kristian di sana sedang dianiaya, namun dakwaan itu dinafikan oleh kerajaan negara Afrika terbabit.
AS sebelum ini dilaporkan telah menyerang kawasan yang didakwa sebagai pangkalan kumpulan pelampau di barat laut Nigeria pada hari Krismas tahun lalu, susulan tuduhan yang dilemparkan oleh Trump.
Abu Bilal disifatkan sebagai antara pengganas paling aktif di dunia.
Beliau berperanan penting dalam merancang operasi yang menyasarkan kepentingan AS dan membawa agenda keganasan kumpulan tersebut di benua Afrika.
Beliau telah diletakkan di bawah senarai sekatan oleh Jabatan Perbendaharaan dan Jabatan Negara AS atas pembabitannya dalam aktiviti keganasan. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






