BANGKOK: Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul, akan melaksanakan langkah keselamatan jangka panjang termasuk menggantikan lintasan kereta api dengan terowong atau laluan bertingkat susulan nahas maut membabitkan kereta api kargo dan bas awam di Makkasan, di sini, kelmarin.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, Anutin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pihak berkuasa tidak lagi boleh membiarkan lintasan kereta api sehingga membahayakan nyawa tanpa tindakan.
“Tiada siapa yang berada dalam keadaan psikologi baik selepas insiden mengejut dan traumatik seperti ini.
“Pemandu dan konduktor bas berada dalam keadaan emosi yang sangat terjejas. Keutamaan kini ialah memastikan mereka pulih sementara proses undang-undang berjalan,” katanya selepas melawat mangsa yang terselamat di Hospital Camillian, semalam.
Anutin turut diiringi pegawai kanan daripada Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kesihatan Awam, Pihak Berkuasa Transit Massa Bangkok (BMTA) dan State Railway of Thailand (SRT) untuk melawat pesakit di unit rawatan rapi serta wad biasa, selain berjanji memberi bantuan penuh kepada mangsa dan keluarga yang terjejas.
Nahas di persimpangan Asok-Phetchaburi berhampiran lintasan Makkasan itu mengorbankan lapan nyawa dan mencederakan 32 mangsa apabila kereta api kargo merempuh bas Laluan 206 sebelum kenderaan itu terbakar.
Anutin turut merakamkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan cedera, sambil menyifatkan kejadian itu sebagai satu tragedi yang amat menyedihkan, lapor Bangkok Post.
Pihak polis sudah mendakwa pemandu kereta api atas kesalahan cuai sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan serius, manakala siasatan terhadap tindakan kakitangan lintasan dan pegawai lain masih diteruskan.
Mengulas lanjut, Anutin berkata, rakaman video menunjukkan palang lintasan kereta api gagal diturunkan kerana kesesakan lalu lintas menyebabkan kenderaan terperangkap di atas landasan.
Beliau berkata, terdapat kejadian sebelum ini di mana kereta api berhenti apabila lintasan terhalang, sekali gus menimbulkan persoalan mengapa kereta api dalam nahas kelmarin lalu tidak memperlahankan atau berhenti tepat pada masanya.
“Kita perlu mengurangkan jumlah lintasan. Pada satu tahap, mungkin perlu ada perubahan laluan atau pembinaan terowong. Kita juga tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pertimbangan kakitangan stesen atau pengendali isyarat kerana kesilapan manusia sentiasa boleh berlaku,” katanya.
SRT mengesahkan lintasan kereta api di situ menggunakan sistem palang manual yang dikawal petugas di lokasi.
Mengikut prosedur kereta api, lampu amaran dan siren akan diaktifkan sebelum palang diturunkan. Namun, pegawai memaklumkan palang tidak dapat diturunkan kerana kenderaan masih berada di lintasan akibat kesesakan teruk.
Berdasarkan peraturan, jika pemandu kereta api tidak menerima pengesahan bahawa palang sudah diturunkan sepenuhnya, mereka perlu bergantung kepada isyarat visual daripada petugas lintasan.
Pihak berkuasa kini sedang meneliti data daripada kotak
hitam kereta api bagi menentukan sama ada prosedur dipatuhi.
Pengarah BMTA, Kittikarn Jomduang Charuworapolkul berkata, pampasan kepada keluarga mangsa akan diselaraskan dengan syarikat insurans di bawah Akta Perlindungan Liabiliti Pihak Ketiga.
Katanya, pampasan awal bagi keluarga mangsa yang maut dijangka mencecah 1.5 juta baht (RM195,000) bagi setiap mangsa, manakala penumpang yang cedera akan menerima antara 80,000 (RM10,400) hingga 500,000 baht (RM65,000) bergantung kepada tahap kecederaan.
Penunggang teksi motosikal tempatan berkata, kemalangan dan pelanggaran dengan palang lintasan kerap berlaku di persimpangan itu akibat kesesakan kronik dan sikap pemandu yang tidak sabar. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






