KUALA LUMPUR: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli mengakui kesilapan sendiri pada pusingan terakhir menjadi punca dia terlepas peluang meraih podium sulung Moto3 pada Grand Prix (GP) Catalunya, semalam.
Memetik laporan harian Metro, pelumba AEON Credit-MTHelmets-MSI itu bagaimanapun tetap berpuas hati apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh yang juga pencapaian terbaiknya setakat ini dalam saingan musim ini.
Menurut Hakim Danish, dia sebenarnya berada dalam posisi terbaik untuk menamatkan perlumbaan dalam kelompok tiga terbaik sebelum terlebih membrek di selekoh ke-10.
“Pada pusingan terakhir saya hampir menaiki podium, namun malangnya saya terlebih brek di selekoh ke-10,” katanya.
Memulakan perlumbaan dari petak ke-10, pelumba kelahiran Terengganu itu tampil cukup kompetitif apabila berjaya bersaing bersama kelompok hadapan sepanjang perlumbaan di Litar Catalunya.
“Hari ini (semalam) saya bermula dengan cukup baik di grid pelepasan. Sepanjang perlumbaan saya cuba mengawal posisi untuk kekal bersaing bersama kelompok hadapan.
“Beberapa kali juga saya berjaya memintas pelumba di depan dan banyak perkara baharu yang saya pelajari kali ini terutama cara mereka mengawal perlumbaan dalam kelompok hadapan,” kata pelumba berusia 19 tahun itu.
Hakim Danish berkata, pengalaman di Catalunya turut membuka matanya bahawa dia perlu lebih agresif jika mahu bersaing secara konsisten dengan pelumba terbaik dunia.
“Selepas ini saya perlu lebih agresif terutama ketika berada dalam kelompok hadapan sama ada ketika memintas atau mengekalkan rentak perlumbaan.
“Apapun, ini pengalaman terbaik buat saya dan saya tidak akan berhenti berusaha untuk capai podium satu hari nanti,” katanya.
Saingan GP Catalunya itu dimenangi pelumba Sepanyol, Maximo Quiles dari CFMoto Aspar Team.
Keputusan tempat ketujuh itu turut menghadiahkan sembilan mata buat Hakim Danish sekali gus memperbaiki pencapaian terbaiknya sebelum ini apabila menamatkan GP Brazil dan Perancis di tempat ke-10. – HMetro Online –
IMedikel TV






