Home Buletin Semasa SULAMAN KELINGKAN, SENI HALUS PERLU DIWARISI

SULAMAN KELINGKAN, SENI HALUS PERLU DIWARISI

439
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Di celah benang logam emas dan perak yang disulam halus pada kain, tersimpan sebuah warisan seni unik yang semakin jarang ditemui.

Sulaman kelingkan pernah menjadi lambang keagungan istana dan golongan bangsawan, namun hari ini seni itu hampir tenggelam ditelan arus moden.

Bagi pengusaha seni kelingkan, Nik Marhamah Nik Megat, 52, berkata seni itu tidak boleh dibiarkan pupus.

Beliau yang mesra disapa Kak Nik adalah pewaris sulaman kelingkan yang dipelajari daripada nenek saudaranya, adiguru sulaman kelingkan, Nik Rahimah Nik Idris.

“Nenek saudara saya memang mahir menyulam, tetapi masa kecil saya cuma perhati sahaja.

“Kelingkan ni halus dan sensitif, jadi saya tak berani kacau. Tak terlintas langsung nak belajar,” katanya mengimbas kenangan.

Namun menurut Nik Marhamah segalanya berubah apabila Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan menganjurkan bengkel sulaman kelingkan di rumah nenek saudaranya di Kampung Kubang Pasu, berhampiran Istana Balai Besar pada 2006.

“Masa tu ada peserta tarik diri, kebetulan saya balik bercuti dari Kuala Lumpur. Mereka tawarkan saya ganti tempat kosong disebabkan ada pelajar menarik diri, dari situlah bermula perjalanan saya dengan kelingkan,”katanya.

Menurutnya sulaman kelingkan berbeza daripada jahitan biasa kerana menggunakan jarum yang dibuat daripada logam perak, ditempah khas.

Tekniknya halus dan rumit, menjadikan setiap hasil sulaman bernilai tinggi.

“Kita kena berhati-hati semasa membuat sulaman, kalau salah tarik, benang itu akan rosak. Nilai kelingkan terletak pada benangnya yang logam asli, ada yang guna emas 24 karat. Sebab itu harga hasil kelingkan tidak murah.

“Harga sehelai selendang boleh mencecah RM3,000 ke atas kerana prosesnya mengambil masa antara sebulan hingga tiga bulan, bergantung pada rekaan,”jelasnya.

Katanya motif sulaman kelingkan kebanyakannya berasaskan flora dan fauna seperti bunga, rama-rama dan kumbang.

Selain itu, lambang kerajaan dan tulisan turut boleh dihasilkan.

Menurut Nik Marhamah seni itu dahulunya digunakan untuk menghiasi tapuk bantal istana, alas paha, sapu tangan serta perhiasan perkahwinan dalam kalangan Kerabat Raja mahupun bangsawan.

Kini, ia lebih kerap ditempah untuk tudung dan selendang, serta baju pengantin.

Beliau mengakui proses menyiapkan satu tempahan kadang-kadang memakan masa panjang kerana setiap jahitan perlu dibuat dengan penuh ketelitian.

“Kalau semakin halus corak, semakin lama masa diambil,” tambahnya.

Menyedari generasi muda semakin jauh daripada seni tradisi, Nik Marhamah kini aktif berkongsi ilmu melalui program anjuran Malaysian Craft Council, Yayasan Hasanah dan Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan (UKeKWa).

“Setakat ini saya sudah menghasilkan seramai 17 pelajar yang boleh menyulam kelingkan,”katanya.

Bagaimanapun, menurut beliau cabaran utama dalam seni sulaman kelingkan adalah kesukaran untuk mendapatkan bahan mentah termasuk benang kelingkan.

“Cabaran utama ialah mendapatkan bahan mentah kerana benang kelingkan mahal dan sukar diperoleh. Namun saya yakin, dengan usaha bersama, kita mampu menghidupkan kembali seni warisan istana ini agar tidak hilang ditelan zaman,” katanya.

Menurutnya sulaman kelingkan bukan sekadar seni, tetapi warisan bernilai yang melambangkan keindahan budaya Melayu Kelantan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here