Home Hiburan RTM HENTI SIRI CLEOPATRA IN SPACE, BUAT SIASATAN DALAMAN

RTM HENTI SIRI CLEOPATRA IN SPACE, BUAT SIASATAN DALAMAN

33
0

KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengumumkan pemberhentian sepenuhnya siaran siri animasi bertajuk Cleopatra in Space yang disiarkan menerusi saluran TV2 berkuat kuasa serta-merta.

Memetik laporan Harian Metro, keputusan itu dibuat selepas stesen televisyen terbabit mengambil maklum beberapa pandangan dan aduan berhubung kandungan siri berkenaan yang ditayangkan pada Sabtu dan Ahad lalu, jam 9 pagi.

Menurut kenyataan media dikeluarkan Bahagian Perhubungan Awam Jabatan Penyiaran Malaysia hari ini, RTM menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dalam aspek pematuhan garis panduan penyiaran yang ditetapkan.

“Sebagai stesen penyiaran awam negara, RTM sentiasa komited dan berpegang teguh kepada prinsip untuk menyediakan kandungan program yang berkualiti, selamat dan mematuhi sensitiviti masyarakat, agama, serta norma budaya tempatan,” katanya.

Selain menghentikan tayangan, pihak pengurusan tertinggi stesen penyiaran awam itu juga sedang menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca isu terbabit.

Dalam pada itu, RTM turut menghargai keprihatinan orang ramai yang tampil memberikan maklum balas terhadap kandungan yang disiarkan demi memastikan mutu penyiaran nasional terus terpelihara.

“RTM merakamkan ucapan terima kasih kepada penonton yang prihatin serta sentiasa memberikan maklum balas yang membina demi penambahbaikan mutu siaran kami,” katanya.

Terdahulu, tayangan siri animasi terbabit mencetus kebimbangan di kalangan orang ramai apabila didakwa mengandungi unsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Mereka mendakwa terdapat strategi penyebaran ideologi LGBT melalui rancangan animasi untuk tontonan terutama kanak-kanak.

Sebelum ini, RTM turut menggantung siri animasi Santiago of The Seas susulan aduan mengenai unsur LGBT secara tidak langsung.–HMetro Online-

IMedikel TV    

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here