WASHINGTON: Sebahagian roket China yang meletup di angkasa lepas dan menghasilkan lebih 700 serpihan dikhuatiri akan meningkatkan risiko pelanggaran yang berbahaya.
Serpihan itu akan meletakkan lebih 1,000 satelit dan objek lain di kawasan trafik tinggi di orbit bumi dalam keadaan amat berisiko untuk berlanggar.
Selasa lalu, Shanghai Spacecom Satellite Technology (SSST) milik China melancarkan 18 satelit internet ke orbit sebagai kumpulan sulung rangkaian komunikasi yang akan mencabar Starlink SpaceX.
Bahagian atas roket yang membawa satelit itu ke orbit meletup sejurus sesudah melepaskan muatannya.
Firm penjejak angkasa Amerika Syarikat (AS) LeoLabs berkata, letupan itu menghasilkan sekurang-kurangnya 700 keping serpihan setakat ini.
Katanya, kumpulan serpihan, yang berselerakan dan terapung pada ketinggian kira-kira 800 kilometer (km), mampu kekal di angkasa lepas selama beberapa tahun.
SSST bagaimanapun tidak menjawab permintaan untuk memberi komen.
Setakat ini, belum diketahui sama ada letupan roket itu disebabkan oleh perlanggaran dengan objek lain atau letupan bahan api roket yang tidak digunakan lagi di atas kapal.
Komando Angkasa AS pada mulanya berkata ia menghasilkan 300 keping serpihan, namun jumlah itu dipercayai akan meningkat.
Naib Presiden Strategi di firma pengesan angkasa Slingshot Aerospace, Audrey Schaffer berkata, lebih 1,100 satelit dan objek lain di ruang angkasa berisiko bertembung dengan serpihan roket China itu.
“Kira-kira satu pertiga daripada objek yang berisiko adalah kapal angkasa lepas yang aktif dan berkemungkinan boleh dilencongkan.
Tambahnya, kepingan sampah angkasa yang sedia ada tidak mempunyai cara untuk mengelak serpihan baharu dan dijangka mengakibatkan pelanggaran.
Pada 2022, sebahagian roket Long March 6A pecah di angkasa lepas dan menghasilkan ratusan serpihan.
Ia menimbulkan kritikan negara Barat dan penyokong kelestarian angkasa lepas terhadap China, yang mengatakan Beijing harus mengawal dengan lebih baik cara ia melupuskan badan roket terpakai.
“Terus-terang ia mengecewakan bahawa roket itu mempunyai isu yang sama, peristiwa penjanaan serpihan seperti ini berpotensi untuk dielakkan dan tidak sepatutnya berlaku lagi,” kata Schaffer. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






