Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU:Isu salah laku pelajar yang semakin membimbangkan bukan sahaja menimbulkan rasa risau dalam kalangan ibu bapa, malah turut mencetuskan keresahan dalam kalangan guru yang kini berdepan dilema untuk menegur pelajar.
Tinjauan di media sosial mendapati ramai guru meluahkan rasa serba salah untuk menasihati atau menegur pelajar selepas beberapa kejadian sebelum ini menyebabkan mereka dipersalahkan dan berdepan tindakan disiplin mahupun undang-undang.
Ada dalam kalangan mereka mendakwa, budaya menghormati guru semakin pudar apabila pelajar lebih berani melawan dan mempersoalkan teguran. Keadaan itu menjadikan ramai pendidik mengambil pendekatan berdiam diri demi menjaga keselamatan serta kedudukan mereka di tempat kerja.
Seorang dipercayai guru menulis di media sosial menceritakan pengalaman beliau apabila pernah ke balai polis kerana dikatakan cuba memanusiakan seorang murid.

“Saya antara guru yang pernah ke balai polis kerana cuba memanusiakan murid. Cukup sekali, tidak mahu berulang lagi. Sekarang saya memilih untuk menyelamatkan periuk nasi saya,”tulisnya di media sosial.
Seorang lagi berkongsi pengalaman apabila diserang ibu bapa pelajar kerana dikatakan sesuka hati keluar masuk ke kelas.
“Saya pernah kena serang dengan ibu bapa kerana memarahi anaknya yang suka hati keluar masuk kelas. Anak mereka menuduh saya menarik kolar baju dan mengangkatnya.

“Ketika itu saya mengandung 7 bulan, rasanya kalau betul saya mengangkatnya, sudah tentu saya terberanak di situ. Itu pelajar lelaki Tingkatan Dua.
“Bagaimanapun pentadbir sekolah tidak mendengar sebelah pihak, tetapi sampai sekarang saya takut untuk mendenda murid,”katanya melalui tulisan komen di media sosial.
Bagi isteri kepada seorang guru turut menceritakan pengalamannya tiga tahun lalu apabila suaminya yang juga seorang guru disiplin diminta ke balai polis di awal pagi.

“Suami saya marah murid Tahun 6 sebab bawa dan menghisap vape di sekolah. Malam itu dapat panggilan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) disebabkan ibu kepada murid berkenaan membuat laporan polis dan marah dengan insiden itu.
“Kami terpaksa pergi ke balai polis jam 1 pagi untuk meminta maaf kepada ibu murid berkenaan,”tulisnya di media sosial.
Situasi ini menggambar dilema besar yang kini dihadapi warga pendidik antara menjalankan tanggungjawab mendidik dan menjaga keselamatan diri sendiri.
IMedikel TV






