KUALA LUMPUR: Aktivis kemanusiaan, Dr Taufiq Mohd Razif, 35, meluahkan kebimbangan terhadap keadaan kesihatan rakan seperjuangannya, Ardell Aryana, yang dilaporkan belum pulih sepenuhnya selepas menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, baru-baru ini.
Memetik laporan Harian Metro, Dr Taufiq menerusi hantaran di laman sosial Threads berkongsi keadaan Ardell yang kelihatan lemah dan kurang sihat sepanjang perjalanan pulang dari Turkiye ke Malaysia.
“Saya sebenarnya risaukan keadaan Ardell itu. Dari Turkiye sampailah ke Malaysia, saya iring dan jaga dia.
“Pucat saja bibirnya. Badan asyik kekurangan air, tekanan darah pun tak stabil. Dia antara yang paling teruk diuji sepanjang misi kali ini, tapi tak banyak merungut.
“Nyawa-nyawa ikan pun dia tak cakap apa-apa, kena kita yang tanya baru dia jawab ‘okay’,” tulisnya.
Bimbang dengan keadaan itu, Dr Taufiq turut memohon orang ramai agar sama-sama mendoakan kesembuhan Ardell supaya kembali sihat seperti sedia kala.
“Semoga Allah berikan Ardell kesembuhan seperti biasa. Sama-sama kita doakan,” katanya lagi.
Semalam, suami kepada Ardell yang juga pelakon, Nadzmi Adhwa, turut memohon ruang buat isterinya untuk berehat dan memulihkan diri sepenuhnya selepas dibawa pulang ke tanah air dari Istanbul, Turkiye.
“Saya minta semua sabar dan tunggu Ardell betul-betul sembuh, baik fizikal mahupun mental.
“Kita sama-sama doakan dan tunggu Ardell kembali kuat. Insya-Allah, dia akan pulih,” katanya.
Terdahulu, Ardell antara 23 aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF ke Gaza sebelum mereka dikepung dan ditahan tentera Israel di perairan antarabangsa.
Ketika dalam tahanan, tudung Ardell direntap dan dia difahamkan ditumbuk di muka oleh tentera Zionis, antara detik paling getir dilaluinya sepanjang misi tersebut.
Selain Ardell, misi GSF turut disertai beberapa aktivis dan selebriti tanah air termasuk Datin Seri Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Zizi Kirana, Farah Lee, dan Ilya Balqis. – BH Online –
IMedikel TV






