Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menganggarkan keluasan tanaman nanas di negeri ini mencecah sehingga 140 hektar pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, tanaman itu dilaksanakan menggunakan konsep ‘sekali tanam, tiga kali tuai’ bagi membolehkan ia berkembang sebagai kluster ekonomi di Wilayah Timur.
Katanya, kerajaan negeri juga merancang membangunkan ladang nanas berskala besar di kawasan tanah terbiar bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran secara konsisten.
“Kita juga akan mewujudkan rangkaian pembekal bagi industri sekaligus membuka potensi Kelantan sebagai negeri pengeluar dan pengeksport nanas.
“Selain itu, kita akan memperkukuh pelaksanaan konsep Satu Daerah Satu Industri (SDSI) serta mempergiatkan promosi, pembangunan usahawan dan penglibatan belia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Almidi Jaafar (Bukit Bunga-PAS) mengenai langkah membangunkan rantaian nilai nanas pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Menurutnya, varieti nanas MD2 merupakan keutamaan bagi kerajaan negeri dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) untuk dikembangkan.
Katanya, pemilihan varieti itu adalah kerana milai komersial yang tinggi di pasaran khususnya di peringkat antarabangsa, sekali gus memberikan pulangan ekonomi yang lebih baik kepada pengusaha.
“Selain itu, kualiti premium varieti MD2 juga tergolong sebagai nanas premium dengan rasa yang lebih manis, kandungan asid yang rendah serta tekstur yang menarik.
“Ia juga berpotensi untuk ke pasaran eksport kerana ketahanan keseragaman buah dan penerimaan global,” katanya.
IMedikel TV






