Home Buletin Semasa IBU BAPA LUAH RASA BIMBANG, GESA SEKOLAH PERKETAT KESELAMATAN

IBU BAPA LUAH RASA BIMBANG, GESA SEKOLAH PERKETAT KESELAMATAN

528
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kejadian salah laku disiplin di sekolah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa, bukan sahaja membabitkan isu buli malah lebih parah kejadian salah laku seksual yang berlaku di dalam sekolah.

Rata-rata melontarkan pandangan juga luahan dan menganggap sekolah kini tidak lagi menjadi tempat paling selamat buat anak-anak, sebaliknya berisiko menjadi lokasi kepada pelbagai salah laku termasuk gangguan seksual dan jenayah remaja.

Seorang ibu, Norhidayu Mohd Norrawi, 41, dari Pasir Puteh, berkata beliau berasa tidak lagi tenang setiap kali menghantar anak ke sekolah selepas beberapa kejadian serius membabitkan pelajar sendiri di sekolah.

“Saya sebagai ibu berasa tidak selamat untuk hantar anak ke sekolah. Saya tidak tahu maklumat lengkap berkenaan isu yang sedang hangat diperkatakan, namun sebagai ibu dan saya sendiri mempunyai seorang anak perempuan berumur 13 tahun, memang rasa tidak selamat.

“Saya sangat berharap sekolah adalah tempat selamat buat pelajar bukan medan jenayah,”katanya kepada kru IMedikel TV.

Norhidayu berkata terdapat dalam kalangan anak-anak sudah mempunyai telefon pintar dan situasi ini amat membimbangkan.

“Kemudahan yang diberikan sudah disalah guna. Mereka boleh akses pelbagai maklumat melalui internet.

“Saya sangat tidak bersetuju apabila ada pihak sekolah memberi kerja sekolah atau maklumat menerusi Telegram mahupun Whatsapp, saya cadangkan bagi sahaja kerja sekolah seperti dahulu iaitu dalam bentuk kertas.

“Saya juga berharap agar kerajaan mengubah undang-undang atau peraturan hanya berumur 18 tahun ke atas sahaja dibenarkan mempunyai media sosial, bukan 13 tahun, macam-macam boleh berlaku. Tidak semua ibu bapa mampu untuk pantau anak-anak yang mempunyai kemudahan telefon pintar dan internet,”katanya.

Ibu kepada lima orang anak, Roziana Ramli, 44, turut menyifatkan kes salah laku seksual pelajar itu sebagai serius dan membimbangkan, serta memerlukan tindakan segera daripada semua pihak termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Sekolah sepatutnya tempat kedua paling selamat selepas rumah, tetapi kini jadi ancaman keselamatan yang serius.

“Kementerian perlu bertindak tegas tanpa kompromi terhadap salah laku seksual dan saya mencadangkan untuk menempatkan polis bantuan di sekolah bagi tujuan pencegahan jenayah,” katanya.

Bagi Nur Adilah Sukor, 31, dari Pasir Mas, masalah salah laku pelajar berpunca daripada penggunaan gajet tanpa pemantauan ibu bapa.

“Sebenarnya kes salah laku pelajar atau anak- anak ini berpunca daripada gajet yang tidak di pantau baik ibu bapa atau penjaga.

“Memang tidak dinafikan dulu pun kes seperti ini sudah ada. Tetapi tidak terlampau ekstrim dalam kalangan pelajar yang masih di bangku sekolah.

“Jangan katakan zaman sudah berubah, gajet satu kepentingan, tetapi ibu bapa perlu memberi satu pendekatan yang baik kepada anak-anak,”katanya.

Jelasnya anak-anak remaja mempunyai darah panas yang ingin mencuba sesuatu yang baharu, namun tidak berfikir panjang tentang kesan dan akibat jangka masa panjang.

Beliau yang juga ibu kepada tiga anak perempuan, berkata ibu bapa perlu memainkan peranan dengan memantau aktiviti anak-anak di rumah, sementara guru dan pihak sekolah perlu mengenal pasti pelajar bermasalah dan bekerjasama untuk membentuk akhlak mereka.

“Guru dan pihak sekolah perlu mengenal pasti pelajar bermasalah dan membantu mereka. Pihak Kementerian Pendidikan pun kena bagi hukuman setimpal supaya pelajar lain takut hendak melakukan perkara sama,” katanya.

Pendapat sama turut disuarakan ibu kepada empat anak, Azrena Azman, 41, dari Kok Lanas.

“Sebagai ibu, apabila anak berada di sekolah kita menganggap tempat itu selamat. Tetapi apabila berlaku kes begini, terbit rasa takut dan tidak yakin sedangkan ramai beranggapan sekolah adalah tempat kedua selamat selepas rumah,”katanya.

Azrena turut berpandangan teknologi memainkan peranan besar dalam menyumbang kepada gejala sosial pelajar apabila mereka bebas mengakses pelbagai kandungan tanpa sekatan.

“Anak-anak sekarang boleh tengok apa sahaja di internet tanpa had. Kerajaan patut wujudkan satu platform yang boleh sekat laman sesawang yang tidak sesuai untuk remaja,” katanya.

Beliau berharap pihak sekolah memperketatkan penggunaan telefon bimbit dan memastikan pelajar dipantau sepanjang waktu persekolahan.

“Pendidikan seks pun penting supaya pelajar tahu jaga diri dan perlu diberi pendedahan kepada pelajar agar tahu untuk menjaga diri bagi membendung gejala sosial. Tetapi ibu bapa juga memainkan peranan penting untuk pantau anak di rumah.

“Harapan kepada pihak sekolah agar memperketatkan penggunaan telefon ketika waktu sekolah dan memeriksa kelas dan memastikan semua pelajar balik selepas waktu sekolah,” katanya.

Kebimbangan yang diluahkan ibu bapa itu menggambarkan keresahan masyarakat terhadap tahap keselamatan pelajar di sekolah, sekali gus menjadi isyarat kepada semua pihak termasuk KPM agar memperkukuh aspek disiplin, pengawasan dan pendidikan moral dalam kalangan pelajar.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here