Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
Umumnya, masalah kembung sering kali dialami oleh bayi yang berumur kurang daripada enam bulan terutama ketika menyusu badan.
Sudah pasti ia menjadi suatu kebimbangan bagi kebanyakan ibu bapa akan ketidakselesaan bayi mereka akibat angin atau kembung perut setiap malam.
Bayi yang mengalami masalah tersebut selalunya akan menangis berpanjangan tanpa henti dan meragam.
Masalah angin akan mengganggu saluran penghadaman apabila ia terperangkap di dalam badan si kecil dan menyebabkan tekanan yang menyakitkan pada badan.
Bayi kerap kembung perut ketika menyusu adalah disebabkan oleh ibu yang tidak melekapkan mulut bayi dengan baik pada puting dan mendorong bayi menelan banyak udara.
Di samping itu, ia juga kerap berlaku kepada bayi yang kerap menangis secara berlebihan, mengalami sembelit dan saluran pencernaan masih belajar memproses makanan, angin dan najis dengan berkesan.
Selain itu, sering kita lihat bayi selalu muntah dan terjeluak susu, tanpa kita sedari itu adalah salah satu simptom bayi mengalami kembung perut selepas menyusu.
Antara simptom lain adalah sendawa yang berlebihan, perut kembung atau bengkak dan bayi akan mengalami kesukaran untuk tidur.
Namun begitu, ibu bapa tidak perlu risau kerana terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan bagi melegakan masalah kembung perut bayi antaranya ialah:
1. Menjaga pemakanan: Ibu menyusu badan perlu mengelakkan beberapa jenis makanan yang diketahui menyebabkan bayi alami kembung. Antara jenis makanan yang harus dielakkan adalah kubis, brokoli, bunga kubis, kafein, atau makanan daripada sumber tenusu.
2. Sendawakan bayi: Bayi kurang disendawakan berpotensi mengalami kembung perut kerana mempunyai ‘angin’ terperangkap. Gunakan teknik yang betul untuk sendawakan bayi namun sekiranya bayi muntah sedikit selepas menyusu seperti jeluak adalah biasa dan ia merupakan satu keadaan tidak berbahaya bagi bayi.
3. Mengurut: Gunakan minyak yang sesuai untuk disapu pada perut bayi dan urutkan dengan lembut. Sebaiknya ibu bapa perlu memastikan teknik urutan yang digunakan adalah betul dan tidak mendatangkan bahaya kepada bayi.
Bagi ibu bapa yang lebih berpengalaman, mereka sering menggunakan beberapa petua untuk melegakan kembung perut bayi dengan berhenti seketika sebelum menukar payudara untuk menyusu terutamanya jika aliran susu laju.
Ketika menyusu, pastikan posisi penyusuan si kecil lebih tinggi daripada perut pada bahagian kepala dan leher kemudian kekalkan bayi untuk berada pada kedudukan itu selama 5 hingga 10 minit selepas menyusu terutamanya pada beberapa minggu pertama selepas kelahiran.
Secara kesimpulannya, masalah kembung perut dalam kalangan bayi yang baru lahir bukan suatu perkara enteng.
Oleh itu, ibu bapa perlu lebih cakna akan gerak-geri si kecil agar masalah tersebut tidak melarat.
IMedikel TV






