NEW DELHI: Panik dengan keadaan semasa menyebabkan orang ramai berebut-rebut menaiki kereta api khas yang membawa mereka keluar dari Jammu di Kashmir India, pada semalam bagi mengelak pertempuran paling dahsyat dengan Pakistan dalam beberapa dekad.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, anggota polis yang memegang kayu dan meniup wisel untuk mengawal keadaan apabila kebanyakan pekerja miskin dari India tengah dan timur berasak-asak hingga berlaga badan untuk menaiki kereta api.
Kereta api itu dihantar oleh kerajaan persekutuan membawa mereka yang bernasib baik, secara percuma untuk ke ibu negara ini yang terletak kira-kira 600 kilometer (km) di selatan Jammu.
Beberapa jam kemudian, pegawai dari kedua-dua negara mengumumkan bahawa mereka bersetuju dengan gencatan senjata penuh dan segera.
Karan Verma, 41, berasal dari Chhattisgarh di tengah India, yang menjadi tukang batu di Akhnoor dekat Jammu selama dua dekad dan menganggapnya sebagai rumah, nekad melarikan diri dengan apa cara sekalipun.
“Terdapat letupan kuat sepanjang malam. Tiada pilihan selain pergi,” katanya.
Beberapa individu mengangkat bayi dan kanak-kanak kecil dan melemparkannya kepada ahli keluarga yang berjaya masuk ke dalam kereta api.
“Sepatutnya ada lebih banyak kereta api,” kata Suresh Kumar, 43, dari Madhya Pradesh yang menyelamatkan abangnya daripada bergaduh dengan penumpang lain.
Nisha Devi, tiga anaknya dan suaminya tidak dapat menaiki kereta api untuk pulang ke Bihar yang jauh di timur, wilayah asal mereka.
“Jika saya menaiki kereta api itu, ia akan menjadi seperti masuk ke dalam perangkap maut bersama kanak-kanak,” katanya. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






