Home Luar Negara SERANGAN BAHARU DILAPORKAN DI LUBNAN SELEPAS ENAM MAUT DI SELATAN NEGARA

SERANGAN BAHARU DILAPORKAN DI LUBNAN SELEPAS ENAM MAUT DI SELATAN NEGARA

25
0

BEIRUT: Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, Israel dilaporkan melancarkan beberapa siri serangan baharu di selatan negara, malam tadi.

Ia berlaku selepas serangan di awal hari yang mengorbankan enam orang walaupun gencatan senjata antara Israel dan Hizbullah dilanjutkan serta masih berkuatkuasa.

Serangan terbaharu itu berlaku selepas arahan Perdana Menteri Israel, Benjamin Natanyahu, supaya tentera “menyerang sasaran Hizbullah dan pihak tentera menuduh kumpulan itu melanggar gencatan senjata.

Susulan arahan Netanyahu untuk menyerang kumpulan itu, agensi berita rasmi Lubnan, National News Agency (NNA), melaporkan berlaku dua serangan di sebuah bandar di daerah Bint Jbeil, satu lagi di daerah Tyre, serta serangan ke atas dua bandar lain di daerah Nabatieh.

Kementerian Kesihatan Lubnan memberitahu bahwa Israel menyerang sebuah lori dan motosikal di bandar Yohmor al-Shaqeef, Nabatieh serta mengorbankan empat orang.

Satu lagi serangan di bandar Safad al-Battikh, Bint Jbeil, mengakibatkan dua kematian dan 17 kecederaan.

Tentera Israel berkata menghapuskan tiga anggota Hizbullah yang menaiki kenderaan sarat dengan senjata dan seorang lagi yang menunggang motosikal serta dua anggota di lokasi lain.

Israel berkata, pihaknya turut mengesan dua peluru dilancarkan dari Lubnan, sambil mengecam pelanggaran terang-terangan terhadap persefahaman gencatan senjata oleh Hizbullah dan memintas satu lagi sasaran udara mencurigakan.

Tentera Israel berkata, ia menyerang infrastruktur Hizbullah yang digunakan untuk tujuan ketenteraan di seluruh selatan Lubnan dan akan terus bertindak tegas terhadap ancaman.

Israel menyatakan ia berhak untuk bertindak balas secara ketenteraan terhadap ancaman segera mengikut terma gencatan senjata.

Sementara itu, Hizbullah berkata ia menyasarkan sebuah kenderaan tentera Israel di selatan Lubnan sebagai tindak balas terhadap serangan di Yohmor al-Shaqeef.

Seorang wartawan AFP melaporkan bahawa sebahagian penduduk melarikan diri dari pinggir selatan Beirut, yang didakwa menjadi kuat Hizbullah dan sering dibom sepanjang perang, selepas kenyataan Netanyahu.

Khamis lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan gencatan senjata selama 10 hari di Lubnan yang bermula pada 17 April dilanjutkan selama tiga minggu.

NNA melaporkan berlaku tembakan artileri Israel di beberapa lokasi di selatan Lubnan, semalam.

Ia juga melaporkan satu letupan kuat di Khiam, sebuah bandar strategik di timur sempadan Lubnan dengan Israel, di mana tentera Israel secara sistematik memusnahkan rumah dan bangunan lain.

Seorang wartawan AFP melihat kepulan asap tebal menjulang di udara di atas bandar berkenaan.

Semalam, tentera Israel sekali lagi memberi amaran kepada penduduk supaya tidak kembali ke puluhan lokasi di selatan Lubnan dalam kawasan yang dikenali sebagai “garisan kuning”, yang menandakan jalur wilayah Lubnan kira-kira 10 kilometer sepanjang sempadan.

Serangan Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 2,496 orang di Lubnan sejak 2 Mac lalu, menurut pihak berkuasa.

Jumaat lalu, Ahli Parlimen Hizbullah, Ali Fayad, berkata kumpulan itu mengekalkan hak untuk bertindak balas terhadap sebarang pencerobohan Israel, sambil menambah bahawa lanjutan gencatan senjata tidak masuk akal berikutan tindakan “permusuhan” yang berterusan. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here