Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Membawa kelainan muzik bergenre pop punk berdialek Kelantan, mengangkat nama pemuzik kelahiran Tanah Merah, Kelantan ini dalam industri muzik tanah air.
Band Pokpang ditubuhkan Julai tahun lalu namun mempunyai pengikut tersendiri yang meminati muzik bergenre tersebut.
Raja Ahmad Syafiq Raja Ahmad Dahlan, 33, atau lebih dikenali Raja berkata tercetusnya nama band tersebut adalah daripada band antarabangsa sekaligus mencipta kelainan dalam seni muzik.

“Kita memang meminati kumpulan Green Day, sebab dari dulu kita dengar muzik mereka.
“Kumpulan Green Day, Simple Plan tu bergenre pop punk, jadi kita berasal dari Kelantan dan menyanyi dalam dialek kita, maka tercetus nama band PokPang,”katanya ketika ditemui kru IMedikel TV, di Pesta Itu Ini, di Stadium Muhammad IV, di sini, semalam.
Tambahnya, idea untuk menyanyikan muzik bergenre pop punk dalam dialek Kelantan adalah untuk mengangkat nama negeri Kelantan itu sendiri.
Membawakan lirik lagu berdialek Kelantan, katanya lirik tersebut dicipta olehnya sendiri.
“Idea itu daripada kehidupan. Kita tinggal dan membesar dengan budaya di Kelantan, setiap hari bercakap dialek Kelantan.
“Tetapi kita minat muzik antarabangsa, jadi kita gabungkan dua budaya tersebut menjadi satu. Muzik bergenre pop punk tetapi dalam dialek Kelate,”katanya.
Menurut Raja selain menjadi vokalis dan gitar utama di band tersebut, dia juga adalah penulis lagu dan sudah mencipta lagu untuk artis terkenal tanah air.
“Saya juga penulis lagu dan komposer, saya kompos lagu untuk artis Malaysia dan lagu jingle (lagu pendek atau catchy),”katanya.
Raja berharap muzik yang diketengahkan oleh band itu boleh diterima pelbagai lapisan masyarakat, umur dan seluruh negeri.

“Cuba dengar lagu dan mesej yang disampaikan dalam bait-bait lirik yang saya tulis.
“Untuk bagi semangat supaya tidak berputus asa, jangan tinggal solat, mendengar nasihat ibu bapa.
Ditanya apa kelainan band Pokpang yang menyanyikan dialek Kelantan berbanding dikir barat dan muzik Kelantan sedia ada, ini jawapan Raja.
“Kelainannya adalah muzik pop punk itu sendiri. Ibarat kumpulan Green Day dengan lagu popular When September End, tetapi versi budu,”katanya.
Katanya dia aktif mempromosi lagu-lagu Pokpang di semua platform media sosial termasuk Tiktok dan YouTube.
Setakat ini Pokpang mempunyai sembilan single termasuk lagu “Yolo”, “Dulu Suko Dulu”, “SKML” dan single terbaru “Ghohok” yang baru dilancarkan semalam.
IMedikel TV






