Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KEDAH: Seramai 10 individu termasuk seorang Pegawai Kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditahan dalam operasi khas di sekitar Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, semalam.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi itu dijalankan kira-kira jam 12.50 tengah hari melibatkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Negeri Kedah dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam.

“Hasil risikan selama sebulan, pasukan operasi menahan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warganegara Thailand yang dipercayai ejen dikenali sebagai ‘Toyu’ yang mengatur pergerakan kemasukan warga asing ke dalam negara serta menahan seorang lagi lelaki tempatan yang dipercayai sebagai ‘transporter’.
“Dalam operasi ini juga, kita menahan lima lagi lelaki warga India dan seorang lelaki warga Pakistan serta seorang Pegawai Kanan JIM yang bertugas di ICQS Bukit Kayu Hitam yang dipercayai sebagai ‘pemudah cara’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zakaria berkata, semakan awal mendapati seorang lelaki warga India yang ditahan merupakan imigran yang disenaraihitam manakala satu lelaki warga Pakistan menggunakan e-visa yang dipercayai palsu dan warganegara asing lain yang ditahan merupakan imigran larangan.
“Kita juga menyita sebanyak lima pasport India, satu pasport Pakistan, pas sempadan Malaysia dan Thailand, cap keselamatan imigresen, 12 unit telefon bimbit dan wang tunai berjumlah 30,000 INR selain turut dirampas sebuah kereta jenis Nissan Sentra, dua buah motosikal jenis Honda Wave dan Honda EX5 yang dipercayai digunakan dalam kegiatan ini,” katanya.
Beliau berkata, modus operandi sindiket adalah membawa masuk warga asing, khususnya dari India, melalui pintu masuk darat secara terancang dengan bantuan ‘transporter’ yang menyamar sebagai pemandu teksi, sebelum pegawai terlibat menurunkan endorsement walaupun tidak memenuhi syarat.
Jelas beliau, sindiket yang dipercayai beroperasi sejak awal tahun itu mengenakan bayaran sebanyak RM1,000 bagi setiap seorang manakala RM400 akan dibayar kepada pegawai bagi setiap pasport yang diturunkan endorsement sehingga mengakibatkan ketirisan hasil negara yang dianggarkan sebanyak RM4.1juta.

Beliau berkata dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Thailand ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan seorang lelaki tempatan ditahan di bawah Seksyen 26J ATIPSOM.
“Seramai lima lelaki warga India pula ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/63 dan seorang lelaki warga Pakistan ditahan di bawah Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen.
“Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Negeri Kedah untuk tindakan lanjut dan seramai dua lelaki dan dua perempuan tempatan dikeluarkan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya.
Zakaria berkata, JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran termasuk pegawainya bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terus terpelihara.
IMedikel TV






