Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Tindakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan yang menganjurkan konvoi Mat Motor ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) adalah satu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, kawasan lapangan terbang merupakan kawasan yang strategik dan keselamatan yang perlu dipelihara sepanjang masa untuk memastikan perjalanan penumpang yang lancar dan tidak terganggu.
“Sekiranya terdapat sebarang kesesakan yang menyebabkan penumpang terlepas penerbangan mereka, adakah pihak penganjur bertanggungjawab untuk membayar pampasan tiket penerbangan mereka.
“Sebarang konvoi bermotor juga sepatutnya mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa. Adakah pihak penganjur telah mendapat kelulusan,” katanya menerusi Facebook.
Beliau turut mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bekerjasama dengan polis mengadakan sekatan jalan raya untuk memeriksa motosikal yang memasuki kawasan lapangan terbang termasuk mana-mana ADUN yang membawa motosikal.
Terdahulu, media melaporkan satu program konvoi motosikal dan sesi lepak santai bersama wakil rakyat Kelantan telah diadakan dengan lokasi tumpuan termasuk bangunan baharu LTSIP.
IMedikel TV






