Home Buletin Semasa POLIS BUKA KERTAS SIASATAN KES INDIVIDU PERLEKEH, PERBODOH ANGGOTA POLIS

POLIS BUKA KERTAS SIASATAN KES INDIVIDU PERLEKEH, PERBODOH ANGGOTA POLIS

61
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Polis Kelantan membuka kertas siasatan berkaitan seorang individu lelaki yang memperlekeh dan memperbodoh anggota polis semasa menjalankan sekatan jalan raya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Beliau berkata, ia susulan penularan video memaparkan seorang individu lelaki yang mengeluarkan kenyataan berunsur memperlekeh dan memperbodohkan anggota polis semasa menjalankan penugasan sekatan jalan raya.

“Siasatan awal mendapati individu berkenaan turut mendakwa bahawa dia berjaya melepasi beberapa sekatan jalan raya dengan cara memperdayakan anggota bertugas.

“Kenyataan itu adalah tidak bertanggungjawab, bersifat provokatif serta boleh menimbulkan persepsi negatif masyarakat di samping menjejaskan imej, reputasi dan kredibiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tegas beliau, tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang cuba memperlekehkan tugas pasukan keselamatan atau menyebarkan kandungan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

”Sebarang perbuatan yang boleh menjatuhkan kehormatan pasukan keselamatan atau menghakis keyakinan awam terhadap penguatkuasaan undang-undang akan diambil tindakan tegas tanpa sebarang toleransi.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial serta tidak menyalahgunakan platform tersebut untuk menyebarkan kandungan yang boleh mencetuskan kegusaran awam.

“Sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh disalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here