Home Buletin Semasa WEA SELAMOS, TOK SINGA DAN DUA RAKAN DIJATUHI HUKUMAN PENJARA TIGA TAHUN

WEA SELAMOS, TOK SINGA DAN DUA RAKAN DIJATUHI HUKUMAN PENJARA TIGA TAHUN

711
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Empat pengamal perubatan tradisional termasuk Wea Selamos dan Tok Singa, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Ahad, selepas didapati bersalah memukul seorang pensyarah hingga menyebabkan mata kirinya buta dalam kejadian pada 5 Ogos 2021.

Perintah hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Mohd Zul Zaqikudin Zulkifli terhadap Wea Selamos atau nama sebenar Mohd Shamsul Izwan Midin, 37, dan Tok Singa atau nama sebenar Muhammad Firdaus Mohd Adnan, 37 serta dua lagi rakan mereka Idrees Ishak, 46, dan Mohd Eric Mohd Ramli, 39.

“Mahkamah mendapati pembelaan keempat-empat tertuduh adalah penafian semata-mata.

“Semua tertuduh didapati bersalah dan dihukum penjara tiga tahun berkuat kuasa hari ini,” kata Zul Zaqikudin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa sengaja mendatangkan kecederaan parah ke atas seorang pensyarah berumur 43 tahun iaitu hilang penglihatan mata kiri kekal di sebuah rumah tumpangan di Jalan Sultan Yahya Petra, di sini pada jam 4 pagi, 5 Ogos 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Mohd Azrul Hasyimi Mohamad.

Ketika prosiding, mereka memohon penangguhan pelaksanaan hukuman untuk mengemukakan rayuan.

Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu, namun menetapkan agar rayuan difailkan segera.

Hakim turut menaikkan jumlah jaminan daripada RM3,000 kepada RM5,000 bagi setiap tertuduh.

Kesemua tertuduh bebas selepas membayar jaminan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here