Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Malaysia dan Thailand bersetuju mempercepatkan pemulihan laluan kereta api Sungai Golok–Rantau Panjang, termasuk pembangunan rangkaian rel berkembar yang menghubungkan kedua-dua negara.
Memetik perkongsian Urus Setia Penerangan Dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) persetujuan itu dicapai susulan Mesyuarat Dua Hala Pengangkutan Thailand–Malaysia di Bangkok, dan dimuktamadkan menerusi lawatan rasmi delegasi Jabatan Pengangkutan Rel Thailand (DRT) ke Kelantan baru-baru ini.
Lawatan diketuai Timbalan Ketua Pengarah DRT, Athipoo Jitranukroh, membabitkan lawatan ke Stesen Pasir Mas, Rantau Panjang, dan Kota Bharu bersama pegawai kanan Kementerian Pengangkutan Malaysia, Ketua Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd Zain Mat Taha, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) serta agensi berkaitan.

“Fokus utama adalah menilai kesiapsiagaan infrastruktur rel rentas sempadan di Jambatan Kereta Api Sungai Golok, yang tidak beroperasi lebih 20 tahun, serta laluan Rantau Panjang–Pasir Mas sepanjang 18.7 km yang rosak akibat banjir.
“Laluan sepanjang 18.7 kilometer dari Rantau Panjang ke Pasir Mas juga tidak beroperasi akibat kerosakan disebabkan banjir,”menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua negara bersetuju bahawa pemulihan laluan berkenaan amat penting untuk menghubungkan dengan jaringan ECRL yang menggunakan rel standard gauge 1.435 meter sepanjang 665 kilometer.
Projek ECRL sehingga Mei sudah mencapai 83. 38 peratus kemajuan dan dijangka mula beroperasi secara berfasa.
“Fasa 1 dari Kota Bharu ke Gombak pada suku pertama 2027. Manakala Fasa 2 dari Gombak ke Pelabuhan Klang pada suku keempat tahun sama,”katanya.
DRT turut menyatakan bahawa pemulihan laluan kereta api Sungai Golok – Rantau Panjang sejauh 1.3 kilometer serta pembangunan rangkaian rel berkembar sejauh 216 kilometer itu akan menjadi pemangkin penting kepada pembangunan ekonomi dan sosial di wilayah selatan Thailand.
“Thailand turut rancak membangunkan projek rel berkembar di beberapa laluan termasuk Nakhon Pathom–Chumphon (420 km) yang sudah beroperasi, serta cadangan Hat Yai–Sungai Golok yang dalam proses kajian kebolehlaksanaan bagi tahun 2025.
“Malaysia pula sedang mengkaji lanjutan projek ECRL dari Stesen Kota Bharu ke Rantau Panjang (30.5 km) untuk sambungan dengan jaringan rel sedia ada,”katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Kamarudin Md Nor, menyambut baik inisiatif itu dan menyifatkannya sebagai pemangkin ekonomi, pelancongan dan perdagangan di sempadan Kelantan–Selatan Thailand.
IMedikel TV






