BEIRUT: Ratusan alat kelui yang digunakan oleh anggota Hizbullah meletup di seluruh Lubnan, pada Selasa, membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang dan mencederakan kira-kira 2,800 lagi dalam letupan yang dipersalahkan kumpulan pejuang itu terhadap Israel.
Tiada komen segera daripada tentera Israel mengenai gelombang letupan, yang berlaku hanya beberapa jam selepas Israel mengumumkan ia meluaskan perang untuk memasukkan perjuangannya menentang Hizbullah di sepanjang sempadannya dengan Lubnan.
Letupan itu “mengorbankan sembilan orang, termasuk seorang gadis,” kata Menteri Kesihatan Lubnan, Firass Abiad.
Beliau menambah, kira-kira “2,800 orang cedera, kira-kira 200 daripada mereka kritikal” dengan kecederaan kebanyakannya dilaporkan di muka, tangan dan perut.
Anak perempuan seorang anggota Hizbullah berusia 10 tahun terbunuh di Lembah Bekaa di timur Lubnan, apabila alat keluinya meletup, kata keluarga dan sumber yang rapat dengan kumpulan itu.
Seorang anak lelaki ahli parlimen Hizbullah, Ali Ammar juga antara yang maut, sumber yang rapat dengan kumpulan itu memberitahu AFP, meminta enggan dikenali untuk membincangkan perkara sensitif.
Duta Tehran di Beirut cedera dalam letupan alat kelui tetapi kecederaannya tidak serius, lapor media negara Iran.
Kemasukan begitu ramai mangsa sekali gus dilaporkan di hospital di kawasan yang menjadi kubu kuat Hizbullah.
Di sebuah hospital di pinggir selatan Beirut, seorang wartawan AFP melihat orang ramai dirawat di tempat letak kereta di atas tilam nipis, dengan sarung tangan perubatan di atas tanah dan pengusung ambulans berlumuran darah.
“Sepanjang hidup saya, saya tidak pernah melihat seseorang berjalan di jalan… dan kemudian ‘meletup’,” kata Musa, seorang penduduk di pinggir bandar selatan, meminta untuk dikenali hanya dengan nama pertamanya.
Hizbullah menyalahkan Israel atas letupan itu dan memberi amaran bahawa ia akan dihukum.
“Kami menganggap musuh Israel bertanggungjawab sepenuhnya atas pencerobohan jenayah ini,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa Israel “pasti akan menerima hukuman yang adil untuk pencerobohan berdosa ini.”
Amerika Syarikat, penyedia senjata utama dan sekutu rapat Israel, “tidak terbabit” dan “tidak menyedari kejadian ini lebih awal,” kata jurucakap Jabatan Negara Matthew Miller.
Letupan petang itu melanda kubu kuat Hizbullah di seluruh Lubnan dan memberi tamparan hebat kepada kumpulan pejuang itu, yang sudah mempunyai kebimbangan mengenai keselamatan komunikasinya selepas kehilangan beberapa komander utama akibat serangan udara yang disasarkan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Penganalisis berkata, perkhidmatan perisikan Israel berjaya menyusup ke rantaian bekalan yang digunakan oleh Hizbullah untuk alat keluinya. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






