Pemergian vokalis kumpulan rock tersohor XPDC, Mael atau nama sebenarnya Syed Ismail Syed Ibrahim pada April tahun lalu bukan sahaja ditangisi keluarga dan peminat, malah seluruh industri seni tanah air.
Bagi komposer, Ezra Yaakob, dia turut bersedih dan terkejut dengan kehilangan Allahyarham Mael yang dianggap antara bakat seni yang ‘lejen’.
Menurut Ezra, dia mendapat ilham mencipta lagu ditujukan khas buat Mael seminggu selepas arwah meninggal dunia.
Katanya, idea mencipta lagu bertajuk Permata Seni sedikit unik kerana ia bermula dengan bahagian korus dan ilham itu datang secara spontan.
“Idea itu datang secara tidak sengaja dan menggunakan gitar saya kemudian melengkapkan keseluruhan lagu yang hanya mengambil masa kira-kira dua jam untuk disiapkan,” katanya.
Menurut Ezra lagu Permata Seni pada asalnya adalah lagu berentak hard dan metal rock dengan durasi lebih lapan minit disebabkan sarat pelbagai segmen seni seperti gitar solo.
“Selepas mengadakan perbincangan dengan Burn Crossfire, kami setuju mengubah lagu itu kepada rentak ‘ballad rock’ (balada rock) yang boleh diterima semua peminat muzik.
“Secara khususnya lagu ini ditujukan buat arwah Mael, namun secara umumnya ia turut ditujukan kepada semua bintang seni tanah air yang sudah tiada.
“Proses rakaman membabitkan pemain muzik undangan antaranya pemain gitar Seri, Joy Oren (dram), Zoso (bass) dan saya sendiri sebagai pemain gitar manakala ‘mixing’ oleh Burn dan ‘mastering’ oleh Atok Akem dan susunan string oleh Abu Bakar,” kata Erza yang menggunakan dua studio bagi menyiapkan lagu termasuk rakaman vokal iaitu di studio Heavy Rock Production dan Quantize Studio di Pandan Indah.
Tambah Ezra, penyanyi yang menyanyikan lagu itu adalah penyampai radio KLFM, Zullastree Muhammad dan proses rakaman hanya mengambil masa kira-kira tiga jam.
Katanya, dia juga tidak menyangka Zullastree dapat membawa dan menghayati lagu berkenaan dengan baik dan dia memberi kebebasan sepenuhnya kepada penyanyi untuk menentukan gaya nyanyian yang dikehendaki.
“Ketika Zullastree datang bertemu saya dan Burn, dia mendengar lagu berkenaan sebelum meminta untuk menyanyikan lagu itu, saya dan Burn ok saja, beri dia nyanyi lagu itu.
“Selepas lagu berkenaan siap, lagu itu dihantar ke Rakam Khanah RTM untuk dinilai dan sangat menggembirakan apabila lagu itu lulus untuk siaran di semua stesen radio RTM.” katanya yang sudah mencipta lebih 200 lagu yang dinyanyikan sama ada penyanyi solo atau berkumpulan.
Antara artis yang menerima sentuhan lagu ciptaan Ezra adalah Kathy Azian, Nik Putra, Aimi Qistina, Mita Marlina, Zaza Zainal dan Ucop Angelheart manakala kumpulan Victory, Groove Company, Peacemaker, Getback, Mr President, Star Bright, Tun&Dun Trio dan Statuz.
Sementara itu, Zullastree berkata, peluang yang diberi bagi menyanyikan lagu Permata Seni tidak disia-siakan, malah dianggap satu penghormatan kepada arwah Mael dan artis yang sudah meninggal dunia.
Selain lagu Permata Seni, Zullastree turut menyanyikan lagu bertajuk Rock Kota Raya yang menjadi runut bunyi segmen rock kota raya yang disiarkan di KLFM pada setiap Sabtu dan Ahad.
Zullastree juga sudah selesai merakam single ketiganya bertajuk Rasa Menjadi Nyata juga hasil ciptaan Ezra. HMetro Online –
IMedikel TV






