PARIS: Polis Perancis menembak mati seorang lelaki bersenjatakan pisau di bawah Arc de Triomphe pada Jumaat, selepas dia didakwa mengancam anggota yang menjalankan tugas rasmi di mercu tanda berkenaan, menurut pegawai.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, lelaki terbabit ditembak beberapa kali ketika mengancam anggota semasa upacara menyalakan semula api di makam askar tidak dikenali, kata sumber polis kepada AFP.
Menurut Gendarmerie, seorang anggota pengawal kehormat mengalami kecederaan ringan akibat ditetak pisau, sebelum seorang lagi anggota melepaskan tembakan ke arah penyerang. Suspek turut didapati membawa sebilah gunting.
Pejabat pendakwa raya antikeganasan kebangsaan Perancis memaklumkan suspek adalah seorang warga Perancis kelahiran 1978, dan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami selepas dibawa ke hospital.
Suspek yang dikenal pasti sebagai Brahim Bahrir itu difahamkan dikenali pihak berkuasa sebagai individu radikal dan ditempatkan dalam senarai pemerhatian, kata sumber yang rapat dengan kes itu.
Sumber sama berkata, Bahrir sebelum itu menghubungi balai polis berhampiran kawasan pinggir bandar Paris tempat tinggalnya untuk memaklumkan bahawa dia akan “melakukan pembunuhan beramai-ramai” yang mencetuskan operasi memburunya.
Lelaki itu sebelum ini pernah dijatuhi hukuman penjara 17 tahun atas kesalahan cubaan membunuh, keganasan dan beberapa pertuduhan lain di Belgium, selepas menyerang tiga pegawai polis di sana pada 2012.
Dia dilaporkan baru dibebaskan dari penjara pada Disember lalu.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron memuji tindakan anggota Gendarmerie separa tentera yang menurutnya “bertindak tegas bagi menghentikan serangan pengganas ini.”
Polis turut menutup monumen yang terletak di hujung jalan Champs-Elysees yang sibuk di ibu negara Perancis itu. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






